Wednesday 19 December 2007

Rahsia Kekuatan Islam Yang Dilupakan

Pada tengah hari di suatu hari Jumaat ketika sembahyang fardhu Jumaat yang pertama ketika hendak didirikan di Konstantinople, Muhammad Al-Fateh berdiri di hadapan perajuritnya. Lantas beliau berkata siapakah antara kita yang akan terpilih menjadi imam solat Jumaat yang pertama di bumi yang bari sahaja diIslamkan. Masing – masing anggota tenteranya memandang antara satu sama lain. Sungguhpun sebagai panglima, Muhammad Al-Fateh tidak pernah memandang dirinya sebagai yang terbaik,sifat rendah diri dan zuhudnya menyebabkan beliau masih memberikan ruang kepada anggota tenteranya memilih yang terbaik antara mereka semua.

Melihat semua anggota tenteranya diam, Muhammad Al-Fateh mencadangkan mereka membuat satu pemilihan. Lantas beliau mengarahkan para tentera termasuk dirinya bangun. Lalu berkatalah Muhammad Al-Fateh kepada seluruh anggota tenteranya yang baru sahaja menawan Konstantinople itu, ”Siapakah antara kamu sejak akil baligh tidak pernah meninggalkan sembahyang fardhu? Jika ada sila duduk!” Tetapi tidak seorang pun tenteranya duduk dan ini menunjukkan bahawa tidak ada tenteranya yang meninggalkan sembanhyang fardhu sejak akil baligh.

”Siapakah antara kamu yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan sembahyang sunat rawatib?” Pada ketika itu barulah ada tenteranya yang duduk dan separuh lagi masih berdiri. ”Siapakah pula antara kamu yang sejak baligh tidak pernah meninggalkan sunat tahajud?” Kini semua anggota tenteranya duduk kecuali Muhammad Al-Fateh, ternyata sejak baligh Muhammad Al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat sunat tahajud.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa ,” Konstantinopl akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik, dan rakyat yang baik.” Apa yang telah dilakukan oleh Muhammad Al-Fateh itu tidak mampu dilakukan oleh pahlawan – pahlawan Islam sejak zaman Khalifah ar-Rasyidin, zaman Umar Abdul Aziz dan ketika kegemilangan kerajaan Abbasiyah di Baghdad. Betapa ramai syuhada yang ingin menjadi pemimpin terbaik seperti yang terkandung di dalam hadis Rasulullah s.a.w, bagaimanapun Allah telah menetapkan bahawa manusia terbilang itu ialah Muhammad Al-Fateh.

Umat Islam pada suatu ketika dahulu menjadi umat yang kuat bukan sahaja kerana teknologi dan kekuatan senjatanya. Tetapi Islam menjadi kuat kerana pada ketika itu umat Islam tidak kira mereka pemimpin, hartawan, tentera dan rakyat adalah muslimin yang taat pada agama. Itulah kunci yng mana Allah memberikan pertolongan kepada Muhammad Al-Fateh Konstantinople yang pada ketika itu dikelilingi kota batu yang kukuh dan dikawal ratusan ribu tentera Rom.

Kisah ini menjadi satu pengajaran penting bagi semua pemuda pemudi yang mendokong perjuangan Islam. Kemenagan itu akan hampir kepada pendokong perjuangan apabila hubungan dengan Allah juga cemerlang di samping usaha yang istiqamah dan semangat perjuangan untuk mendapatkan redha Allah itu kukuh terpateri di dalam jiwa setiap pejuang. Ayuh kita muhasabah diri kita. Di dalam kehidupan kita seharian, sejauh manakah kita menjaga hubungan kita dengan Allah? Adakah seperti pemuda hebat bernama Muhammad Al-Fateh? Tepuk dada tanya iman.

Mohd Fairuz Jafar
KARISMA P.Pinang

Monday 17 December 2007

Sekadar Satu Perkongsian

Bismillahirrahamanirrahim.

Sudah beberapa minggu aku tidak berkesempatan untuk menulis di blog ini lantaran kesibukan yang menghambat diriku. Sibuk dengan peperiksan akhir semester dan beberapa program yang perlu aku hadiri.

Alhamdulillah, akau habis peperiksaan semester pada 30hb November 2007, hari yang sama juga berlangsung program mukhayam bersama teman-teman JIM Kedah di Teluk Duyung. Malangnya aku tidak dapat bersama mereka walaupun niat asal ingin bersama. Perancangan Allah itu lebih hebat dari perancangan manusia.

1 Disember aku pulang ke rumah. Sudah lama tak balik rumah atas kesibukan diri ini. Alhamdulillah, dapat berjumpa dengan mak, ayah dan adik-adik. Aku habiskan masa di rumah dengan membantu mak dan ayah membersihkan rumah di samping aku menggunakan masa ku untuk membaca dan menulis di samping menghafal beberapa ayat – ayat suci al-Quran dan beberapa potong hadis sebagai mutaba’ah amal.

7 Disember aku bertolak ke Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (SAINA) untuk bersama dengan teman-temanku mengendalikan Summer Camp di bawah pengurusan Akrab Managment Sdn Bhd. Inilah rutinku apabila cuti semesterku selari dengan cuti sekolah. Sejak tahun 2003 aku terlibat sebagai fasilitator program Summer Camp. Program yang berlangsung sehingga 11 hb Disember ini sentiasa meningalkan kesan di dalam hati kecil ku sebagai salah seorang fasilitator yang mengendalikan peserta – peserta program. Program Summer Camp ini memfokuskan kepada kemantapan ibadah dan kecemerlangan hidup berdasarkan lima prinsip yang digariskan iaitu kecintaan kepada Allah, kecintaan kepada Rasul, kecintaan kepada ibu bapa, kecintaan kepada ummah dan kecintaan kepada kecemerlangan.

Semasa program Summer Camp kali ini, aku mengendalikan 11 orang peserta tingkatan 2. Perkara pertama yang aku semak dari adik – adik ini ialah syahadatain mereka. Rupanya, ada di antara mereka tidak tahu mengucapkan dua kalimah syahadah dan tidak mengerti apa itu syahadatain. Kedaan ini sama seperti aku mengendalikan satu program bersama teman – teman K-Fasi KARISMA Pulau Pinang di Pulau Jerjak beberapa bulan yang lalu yang mana program itu adalah program bersama Kelan Remaja JIM (KRJ Pulau Pinang) dan sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang di mana ada ramai di antara peserta tidak tahu mengucapkan dua kalimah syahadah.

Berbalik kepada Summer Camp. Aku memberikan lebih perhatian kepada adik – adik Summer Camp yang tidak tahu syahadatain dan tidak tahu mengerjakan solat. Ada yang tidak tahu bagaimana niat solat lima waktu. Bayangkan, sudah tingkatan 2, sudah baliqh tetapi solat nya tidak pernah ditunaikan. Jika dilakukan pun hanya mengikut pergerakan orang lain tetapi tidak memahami apakah intipati solat yang sebenar. Aku mengajar adik – adik ini syahadatain. Menunjukkan cara yang betul untuk berwudhuk dan mengajar mereka cara yang betul menunaikan solat. Alhamdulillah, selepas 4 hari 3 malam aku ”memproses” mereka, mereka yang asalnya tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah, tidak tahu solat, tidak tahu membaca surah al-Fatihah sudah mampu melaksanakan solat. Biarpun hanya perkara rukun sahaja yang mereka lakukan di dalam solat mereka, alhamdulillah bagiku mereka sudah mampu menunaikan solat daripada tidak bersolat terus-menerus.

Semasa program ini juga, seperti biasa aku melakukan slot muhasabah diri bersama adik- adik di bawah jagaan ku. Aku mengorek rahsia – rahsia yang terbuku di hati kecil mereka. Remaja – remaja ini apabila kita dekati dengan penuh hemah dan kasih sayang insyaAllah mereka akan meluahkan rasa hati dan masalah mereka. Mereka menyatakan mereka juga ingin menjadi manusia yang baik, tetapi mereka mudah tergoda dengan ajakan teman- teman mereka. Mereka juga meluahkan rasa dan menitiskan air mata bila aku menceritakan detik – detik kamatian manusia. Mereka mengatakan kepada aku sambil memelukku, ”Abang Yuzz, saya ingin bertaubat, saya tak akan tinggal solat lagi, saya tak sabar nak peluk cium ibu saya dan minta dihalalkan air susu ibu yang mengalir dalam tubuh saya, saya nak minta ampun pada ayah atas dosa-dosa saya”. Alhamdulillah, moga kesedaran dan keinsafan adik –adik ini berterusan.

Cuma, amat ku bimbangi mereka akan kembali kepada kajahilan mereka apabila bersama teman – teman di luar sana. Selalu aku katakan kepada ibu bapa kepada anak – anak Summer Camp ini,”Pakcik dan makcik, kami abang – abang dan kakak – kakak fasi hanya boleh berusaha dalam 4 hari 3 malam ini membantu membuka mata hati adik – adik ini melihat kebenaran, menjunjung tinggi Allah SWT. Taat pada perintah Allah. Tapi masa kami hanya 4 hari, seterusnya makcik dan pakciklah yang mesti meneruskan pentarbiyahan ini, dan yang paling penting janganlah tinggal untuk bersolat berjamaah bersama anak-anak ini”. Moga – moga kata – kata ku ini mereka hayati, insyaAllah.

Mengenangkan apa yang berlaku kepada remaja – remaja ini menyedarkan aku tentang tanggungjawabku sebagai seorang muslim. Program – program seperti ini lebih membuka mata dan minda ku betapa meruncingnya krisis aqidah dan akhalak di kalangan remaja – remaja Islam. Aku mula bertanya kembali kepada diriku yang kerdil ni apakah aku sudah berusaha atau sedang berusaha dalam dakwah untuk kembali menyedarkan ummah? Apakah aku sedang bekerja untuk masa depan ummah? Atau aku masih leka dan berkhayal dengan perkara – perkara lagha dalam kehidupanku. MasyaAllah..menitis air mata mengenangkan perjuangan Rasulullah saw untuk membawa ummat manusia kepada cahaya kebenaran. Teringat kisah kehidupan pemuda Mus’ab bin Umair yang meninggalkan kehidupan mewah untuk melebarkan sayap dakwah agama suci ini. MasyaAllah, di manakah usaha aku untuk mengislahkan diriku dan ummah manusia??? Persoalan ini sentiasa bermain di benak mindaku. Ya Allah...jadikan aku hamba yang berada dalam saf perjuangan agamamu.

12 Disember , aku bertolak ke Pulau Pinang. Memandu seorang diri bertemankan alunan – aluanan ayat – ayat yang mulia bacaan Syeikh Masyari menuju ke Sekolah Tahfiz Islah (STAIL). Alhamdulillah, program Tamrin Nuqaba’ KARISMA Pulau Pinang amat bermanfaat bagi pencinta – pencinta perjuangan Islam merangka strategi dakwah. Moga – moga apa yang dipelajari semasa tamrin seperti tadabur surah As-Saff, dakwah fardiyah, amal jamaie, dan sebagainya dapat diterjemahkan dalam kehidupan peserta program dalam menggerakkan dakwah, InsyaAllah.

Jika dari saat ini kita masih leka dan alpa dengan keindahan dan kenikmatan dunia yang sementara dan seolah – olah lupa nikmat syurga yang lebih mengiurkan dari nikmat dunia, renungkanlah nasib ummat 10 tahun akan datang. Jika ada di kalangan remaja Islam hari ni sudah tidak tahu syahadatain, bagaimana kehidupan mereka 10 tahun akan datang. Ya..mungkin mereka boleh berjaya dalam akademik, tapi rohnya kosong. Jiwa nya kaku. Mungkin kerjayanya hebat, tapi rasa ketuhanan tidak ada. Soal dosa pahala, syurga neraka tidak ada dalam diri mereka. Maka akan lahirlah pentadbir – pentadbir yang rasuah, pecah amanah, khianati hak rakyat, materialistik dan sebagainya. Maka ia menjadi tanggungjawab kita untuk memperkasakan dakwah dan gerak kerja jamaah, InsyaAllah.

Ya Allah..bantulah kami, kuatkan jiwa kami, teguhkan pendirian kami dalam perjuangan menegakkan agamaMu. Berilah hidayahMu kepada saudara – saudara kami yang masih jahil terhadap keagunganMu...Ya Allah...hampirkanlah kemenangan kepada kami agar syariatmu tertegak di muka bumi ni..Ameen.

Mohd Fairuz
KARISMA Pulau Pinang

Sunday 25 November 2007

Siapa Aku ? (Sebuah biografi Syeikh Ahmad Yassin)

Lahirku di Kampung Al-Jaurah,
Selatan Tebing Gaza, 1938 Masihiah,
Tercetus perang 1948, familiku berpindah,
Mengharung kaki menuju Ghazzah.
Tika asyik beriadah bersama teman,
Malang menimpa, aku terhumban,
Lumpuh seluruh badan,
Namun, kutekad kekuatan,
Lumpuhku tidak bisa menghalang pergerakan,
Minda, fikiran, tadbir jua amalan...
Kutamatkan pengajian sekolah,
Kuteruskan ke Universiti Ain Syams, padah,
Setahun berlalu dan aku terpaksa berhenti,
Hati yang terhiris itulah,Yang kubawa ke Mesir gagah,
Kukenal Ikhwan, sertai jamaah.
Di Palestin,Akulah guru, mengajar tatatertib,
Berkhutbah di masjid, akulah khatib,
Akulah pengasas Majma' Islami,
Pada 70-an tekad bersemi.
1983, aku ditangkap dituduh,
Pengasas Majd Mujahidin pembunuh,
13 tahun penjara, mahkamah menyuruh,
Namun terbebas selepas bulan kesepuluh.
Kuasaskan lagi gerakan HAMAS,
Gerakan Penentangan Islamiah, kemas,
1987, HAMAS berdiri tegas!
Sekali lagi, ditangkap askar Yahudi,
Dihukum penjara seumur abadi,
Ditambah 15 tahun lagi,
Kerana mengasas HAMAS menggempa Yahudi!
Makin hari, kumakin lemah, di penjara,
Pandangan kananku hilang mutiara,
Mata kiriku kabur, terseksa didera,
Penyakitku kronik, dihantar ke Hospital Penjara.
Subuh 1 Oktober 1997 barakah,
Aku dibebas dengan janji payah,
Antara Jordan & Israel laknatullah,
Selepas serangan Khalid Masy'al tergagal, musnah.
Kusenyum, kulihatIntifadah Aqsa, bangkitnya ummat,
Menentang, melawan Zionis penjajah laknat,
Hingga terbunuh jua tercedera berat.
Pagi,Malam Isnin aku bersolat sendiri,
Munajatku mohon ke hadrat Ilahi,
Agar ganjaran Syahid diberi di sisi,
Dan kuniat puasa di pagi hari.
Masjid, 22 Mac 2004 - Fajarnya,
Usai solat Subuh, tiada lama hanya,
Tika berjalan pulang, aduh sakitnya,
Tiada rasa nyeri, pulanglah,
Pulanglah ke hadrat Tuhanku, Allah,
Haruman syurgawi, rohpun terbanglah,
Duniaku, pisahlah,Nyata kerananya dan kerana-Nya aku lelah...
Akulah Syeikh Ahmad Ismail Yasin!
Siapa kamu?
Apa yang kamu telah sumbangkan untuk agama Allah?

Friday 23 November 2007

Isteri Solehah Kekasih Rasulullah SAW

NABI Muhammad s.a.w adalah contoh dan lambang lelaki Islam sempurna dalam pembentukan hidup berkeluarga.Dalam sirah pembangunan dakwah dan aturan hidup berlandas Islam yang menjadi perjuangan ketika hayat baginda, ciri-ciri seorang lelaki sempurna itu sudah siap menonjol semenjak awal lagi.Tidak hairanlah mengapa baginda menjadi pilihan Saidatina Khadijah Khuailid seorang janda dan ahli perniagaan yang kaya-raya jatuh hati untuk berkongsi hidup dengan baginda.Kerana sifat-sifat rajin bekerja dan amanah yang ada dalam diri baginda Rasulullah, baginda telah dipilih oleh Saidatina Khadijah untuk menguruskan perniagaannya.

Di bawah penyelenggaraan Rasulullah perniagaan yang diserahkan kepada baginda telah mendapat keuntungan dan laba yang banyak.Khadijah yang pada mulanya hanya sekadar percaya terhadap Muhammad, lama-lama berubah menjadi hormat serta kagum, akhirnya jatuh cinta kepadanya, sekalipun umurnya lebih tua daripada Muhammad.Di atas segala kesempurnaan ini Saidatina Khadijah telah melamar Muhammad. Sewaktu pasangan ini melangsungkan perkahwinan, Muhammad berusia 25 tahun sedangkan Khadijah seorang janda berusia 45 tahun. Tetapi kerana baginda seorang lelaki Islam contoh perkahwinan pasangan ini sejahtera berkekalan.Sebuah perkahwinan yang amat indah dan ideal sekali, penuh dengan rasa saling menyintai, hormat-menghormati dan percaya mempercayai. Khadijahlah isteri yang paling dicintai Rasulullah.

Rasulullah tak pernah kahwin lain selama Khadijah masih hidup.Dialah wanita pertama yang masuk Islam, ibu kepada semua anak Rasulullah. Dan dialah juga wanita pertama masuk syurga, yang membela Rasulullah dengan sepenuh jiwa raga serta berkorban harta benda demi untuk menegakkan agama Islam yang mulia.Cinta kasihnya tidak pernah berubah, sentiasa memberikan sokongan walaupun Rasulullah menghadapi tentangan hebat daripada musuh-musuh Islam, sewaktu awal usaha dakwah disebarkan ke seluruh Kota Mekah.Walaupun ditentang oleh kaumnya sendiri tetapi Rasulullah terus mendapatsimpati dan dampingan penuh kasih sayang daripada isterinya Khadijah.Sebagai seorang wanita yang kaya-raya, Khadijah tidak pernah tamakkan harta kepunyaannya. Dia bukan sahaja menjadi pendamping Rasulullah yang setia tetapi sanggup berkorban segala harta kepunyaannya demi untuk menyebarkan kerja-kerja dakwah Islam yang diusahakan oleh Rasulullah.

Perbezaan usia tidak pernah menjadi penghalang kebahagiaan rumahtangga pasangan ini. Sebagai isteri seorang Rasulullah, Khadijah terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri tanpa berbelah bagi serta penuh setia.Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu dan diangkat menjadi Rasul ketika usianya empat puluh tahun. Wahyu pertama yang diterimanya ialah ketika baginda berada di 'Gua Hira'. Ketika itu wahyu pertama yang diterimanya ialah ayat Ikraq. Dalam keadaan menggigil Rasulullah pulang ke rumah kemudian menyelimutkan dirinya.Walaupun Khadijah berasa hairan dengan keadaan yang dialami oleh suaminya tetapi dengan penuh kasih sayang dia membantu menyelimutkan suaminya.Wahyu demi wahyu yang diterima melalui perantaraan Malaikat jibrail telah disebarkan oleh Rasulullah kepada kaumnya. Pada peringkat awalnya ia disampaikan secara bersembunyi-sembunyi selama tiga tahun berturut-turut.Dan di antara orang-orang yang paling awal dan hampir dengan Rasulullah yang beriman dengan segala seruan dan ajaran yang disampaikan ialah isteri tercintanya Khadijah, sahabatnya Abu Bakar, Ali bin Abi Talib serta Zaid bin Haritsah.

Keempat-empat manusia pertama yang masuk Islam ini menjadi lambang agama Islam sampai hari kiamat. Dan Khadijahlah wanita pertama yang memeluk agama Islam. Abu Bakar pula adalah seorang tua yang dalam akal serta pemikirannya lambang dari seorang cendikiawan atau intelek. Ali bin Abi Talib pula adalah wakil golongan muda sedangkan Zaid bin Haritsah pula ialah lambang seorang budak berasal hamba yang menjadi kesayangan Rasulullah.Itulah asal mula perjuangan Rasulullah menegakkan kebesaran agama Islam. Di sisinya berdiri menyokong ialah seorang isteri, sahabat karib, bapa saudara dan anak angkat kesayangannya.

Perjuangan Rasulullah penuh dengan segala cabaran dan dugaan. Tetapi sebagai seorang isteri berhati mulia Khadijah terus mendampinginya sehingga ke saat-saat terakhir hayatnya.Perasaan cinta kasih dan pengorbanan sebagai seorang isteri, sahabat dan pendam-pingsetiatidak pernah luntur di hati Khadijah walaupun terpaksa menempuh pelbagai rintangan dan halangan kerana suaminya telah dipilih Allah untuk menjadi penyebar agama mulia.Sebagai seorang isteri yang menjadi kesayangan Rasulullah, tidak hairanlah kenapa Rasulullah begitu sedih ketika Khadijah meninggal dunia. Sehingga baginda menamakan tahun kematian Khadijah sebagai 'Tahun Sedih'.Sudah semestinyalah pekerti Khadijah selaku isteri, ibu dan wanita ini menjadi contoh ikutan wanita Muslimin sejati.

Sumber: Perempuan November 1993

Thursday 22 November 2007

Bahan Tarbiyah 2 : Muhasabah

Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.

"Sesungguhnya orang-orang yg beriman itu adalah mereka yg apabila
disebut Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kpd mereka
ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka kerananya dan kepada Tuhanlah
mereka bertawakkal."(AlAnfaal: 2)

Allah s.w.t. menyuruh kita berwaspada supaya kita tidak jatuh tersungkur
di dalam kekerasan hati seperti ini di dalam firmanNya:

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang beriman untuk tunduk hati
mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yg telah turun (kepada
mereka) dan janganlah mereka seperti orang-orang yg sebelumnya telah
diturunkan al kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yg panjang atas
mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan mereka adalah
orang-orang yg fasiq."(AlHadid: 16)

Untuk menjaga diri dari rintangan ini, pendukung dakwah yg berjalan di
atas jalan dakwah, mestilah sentiasa memelihara dirinya supaya tidak
terasing dari saudara-saudaranya supaya sentiasa berada di dalam amal
dan usaha dakwah. Tolong-menolong di dalam kebaikan, wasiat mewasiati
tentang kebenaran dan kesabaran.

Dia mestilah membiasakan dirinya dengan tugas-tugas kewajipan dan
saudara-saudaranya yg bekerja dan beramal di bidang dakwah. Dia mestilah
sentiasa memperbaiki hubungannya dengan kitab Allah dan selalu memeriksa
dirinya (muhasabah) sendiri dengan segala perbuatannya satu demi satu.

Di samping itu saudara-saudaranya wajib memberi peringatan apabila dia
lupa dan menolongnya beramal apabila dia telah ingat.

Oleh ; Almarhum Ustaz Mustafa Masyhur

US-Malaysia FTA to Conclude by 2008?

Online Publication Date: 19 September 2007
US envoy urges conclusion to free-trade pact
Sep 19, 07 2:38pm

The United States' new ambassador to Malaysia today urged both countries to conclude negotiations for a free trade agreement after a missed deadline appears to have slowed the pace of talks.

"It's very important that we continue our discussions. The FTA is an opportunity for the US and Malaysia to partner," US ambassador-designate James Keith told reporters.

"We all face the same challenges. There's tremendous competition out there in the global economy and it's important that we find ways to maximise our strong points," he said.

Washington had been racing to conclude the agreement before President George W Bush lost his Trade Promotion Authority (TPA) to "fast-track" trade deals at the end of June. The expiry date gave US negotiators up to March 31 to present a deal for a mandatory 90-day review by the US Congress.

Since missing the deadline, US trade officials have said it aims to conclude discussions by July 2008 and that a seventh round of talks could be held by the end of this year.
Earlier negotiations were bogged down over a series of issues, including Malaysia's affirmative action policies for its majority ethnic Malays.

Malaysia has said it will not sacrifice its national interests in order to forge a deal with the US.
Remove barriers

"Clearly, in order for a comprehensive FTA to work, it has to serve Malaysia's interests and it has to serve America's," Keith said Wednesday.

He said both governments should find ways to remove barriers that hinder foreign investment.

"We look to compete in an open and free market and we have great confidence that our firms can compete in that kind of setting. The bottom line is to make the economy an attractive one for foreign investment," he said.

The US envoy arrived in Kuala Lumpur Tuesday and expects to present his credentials to Malaysia's king by next month. He said trade and security issues will be a major focus during his tenure.

"We want these negotiations to continue ... We're very open to keeping these talks going, it's an important priority in the relationship," he said.
- AFP

Tuesday 20 November 2007

FTA Dan Implikasi Kepada Ummah

Sektor - Sektor Yang Diliputi Oleh FTA:

-Barangan pengguna
-Perkhidmatan
-Perubatan
-Hak pelaburan
-Pemerolehan kerajaan
-Hak harta intelektual

Kesan Negatif FTA :

Perubatan

Harga ubat akan naik melambung tinggi kerana lebih banyak ubat akan dipatenkan oleh syarikat AS yang akan menentukan harga ubat bagi mengaut keuntungan.

Pertanian

Pada masa ini petani Malaysia diberikan subsidi untuk menghasilkan tanaman dan menjualnya dengan harga berpatutan. Hasil tanaman dari luar negara dikenakan tarif import untuk melindungi petani daripada kerugian. Selepas FTA, petani akan kerugian apabila tarif tanaman luar negara akan dikurangkan. Malaysia akan dibanjiri oleh hasil tanaman AS yang amat murah berbanding dengan harga tanaman Malaysia. Petani Malaysia akan mengalami kerugian tinggi dan tidak dapat bertani lagi. AS menggunakan teknologi tinggi dan memberi subsidi tinggi kepada pertanian mereka. Oleh itu, harga tanaman tempatan tidak boleh bersaing dengan harga tanaman AS yang sangat murah

Perkhidmatan

AS mahukan Malaysia meliberalisasikan perkhidmatannya yang bermakna membuka sektor perkhidmatan kepada persaingan asing. AS menyasarkan syarikat telekomunikasi Malaysia, perkhidmatan kewangan, tenaga, penjagaan kesihatan, perkhidmatan pengedaran, perkhidmatan profesional seperti guaman, akauntan, jurutera dan doktor serta perkhidmatan penyiaran.

Pekerja

Kerajaan AS mahu semua tarif Malaysia ke atas produk perkilangannya dikurangkan kepada sifar. Apabila tarif menjadi sifar, barangan yang dikeluarkan oleh AS akan menjadi lebih murah dan memberi saingan sengit kepada barangan keluaran tempatan. Maka banyak kilang kecil dan sederhana tempatan akan kehilangan pasaran dan akhirnya menghadapi kesukaran beroperasi. Selepas itu, banyaklah pekerja kehilangan pekerjaan.

Harga Barangan

Di bawah FTA dengan AS, sektor perkhidmatan seperti air, elektrik, telekomunikasi, pengangkutan boleh diambil alih oleh syarikat asing dan beroperasi untuk keuntungan mengakibatkan kenaikan harga dalam perkhidmatan. Contohnya, kilang yang mengeluarkan beras perlukan perkhidmatan elektrik untuk memproses, perkhidmatan pengangkutan dan lebuh raya untuk mengedar barangan. Jika kos perkhidmatan naik, maka harga beras pun akan naik.

APAKAH FREE TRADE AGREEMENT (FTA) ?

SEJARAH FTA (FREE TRADE AGREEMENT)

Pada 1 Januari 1994, 3 negara di benua Amerika Utara iaitu Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan Mexico telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA ). Perjanjian ini telah diperluaskan ke beberapa negara termasuk China, India dan kini giliran Malaysia.

Inti perjanjian NAFTA ialah penghapusan cukai terhadap barang-barang AS ke Mexico dan juga penghapusan tarif secara berperingkat oleh Mexico selama 14 tahun. Tapi kini (2007 ) majoriti rakyat Mexico berasa kesal kerana ia akhirnya memihak kepada negara maju iaitu Amerika Syarikat dan Kanada.

FTA MALAYSIA-AS

Mulai Jun 2006 , wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Susan Schwab berunding dengan kerajaan Malaysia berhubung Perjanjian Perdagangan Bebas ( FTA). Malaysia merupakan rakan dagang AS yang ke-10 terbesar, dengan AS$44 bilion dalam perdagangan dua hala pada 2005. Para penganalisis dagangan Malaysia meramalkan eksport AS ke Malaysia akan berganda dengan cukai, tarif , subsidi dan sebagaiknya dapat diselaraskan.

Presiden Bush mahu rundingan terhasil sebelum 1 Julai 2007 iaitu sebelum tempoh presiden tamat. Rundingan pusingan ke-5 dijadualkan di Sabah pada bulan Februari 2007. Timbalan USTR ialah Karan Bhatia . Malaysia diwakili oleh Datuk Seri Rafidah Aziz selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Malangnya 1 Januari 2007 ahli kongres kanan Amerika Syarikat ,Tom Lantos yang mewakili California mendesak rundingan FTA dengan Malaysia digantung. Tom Lantos berang dengan perjanjian gas antara syarikat swasta Malaysia dengan Iran yang bernilai AS$16 bilion (AS$1=RM3.50) .Sedangkan perjanjian itu bukan kerajaan Malaysia tapi sebuah syarikat swasta Malaysia, SKS Ventures dengan syarikat milik negara National Iranian Oil Co. Kerajaan Malaysia tidak terlibat . Ironinya ialah California yang diwakili Tom Lantos merupakan pengeksport terbesar dari AS ke Malaysia, menghantar kira-kira AS$2 bilion nilai barangan setahun Malaysia.

Thursday 15 November 2007

Bahan Tarbiyah 1-Tawaduk

"Dan hamba- hamba (ALLAH) Ar Rahman (yang diredhaiNya), ialah apabila mereka berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang - orang yang berkelakuan kurang adap mengahadapkan kata - kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini."
(Surah Al Furqan,63)

Ibadurrahman ialah orang golongan yang menghambakan diri kepada Allah semata - mata. Ada juga golongan - golongan hamba yang lain seperti hamba syaitan, hamba taghut, hamba syahwat, hamba wang, hamba kepentingan, hamba dadah dan hamba wanita.

Ibadurrahman mempunyai sifat dan tanda - tanda sebagaimana yang disebutkan Allah dalam ayat - ayat Surah Al-Furqan dari ayat 63 - 77. Sifat Ibadurrahman yang pertama ialah mereka berjalan di muka bumi dalam keadaan yang rendah hati. Dengan ungkapan Allah ini sudah menggambarkan cara berjalan dan sifat berjalan, yang semuanya mempunyai nilai di sis Allah. Sebab yang demikian itu menggambarkan peribadi , mengungkapkan tentang rasa dan akhlak. Orang - orang yang sombong dan bongkak juga mempunyai cara berjalan sendiri, sebagaimana orang Mukmin yang rendah hati juga mempunyai cara berjalan sendiri. Masing - masing berjalan sambil melaksanakan apa yang terpendam di dalam dirinya.

Ibadurrahman berjalan di muka bumi dalam keadaan rendah hati, tawaduk dan lemah lembut, berjalan dengan penuh kewibawaan dan kehormatan. Tidak dengan sikap sombong dan semahunya sendiri, tidak merasa tinggi dari sesiapapun dan tidak bongkak.

Cetusan Minda

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, dapat juga saya siapkan blog yang tak seberapa ini. Ini adalah tulisan pertana saya di blog ini. Erm..sebelum ni dah ada beberapa blog dah yang saya bina menggunakan pelbagai aplikasi yang percuma seperti ini..tapi ada antaranya yang kena "block". Tak tahu entah kenapa. Malas untuk memikirkan penyelesaiannya..maka binalah blog yang baru. Bukan apa, ada blog ni sedikit sebanyak boleh berkongsi buah fikiran dengan teman - teman di luar sana.

Erm, sekarang jam 6.05 ptg. Saya baru balik dari bertemu beberapa orang clients menguruskan pelaburan dalam dana - dana amanah Islam. Sebenarnya bidang ini masih kurang diceburi oleh orang - orang Islam sehinggakan golongan bukan Islam memonopoli pasaran. Jika diikutkan pasaran dikalangan orang Islam amatlah besar tapi malangnya pasaran yang besar itu diambil oleh golongan bukan Islam, mereka pula yang memasarkan produk pelaburan berlandaskan syariah. Jadi bagi sesiapa yang berminat untuk memceburkan diri dalam bidang perundingan unit amanah, boleh lah hubungi saya di talian 019 5589116.

Dunia hari ini semakin mencabar. Umat Islam di serang dengan pelbagai godaan nafsu dunia. Anak - anak remaja Islam ramai yang suka menghabiskan masa bersama teman-teman wanita tak kira di mana - mana baik di sekolah, universiti dan institut perguruan sendiri. MasyaAllah. Masa banyak dihabiskan dengan ber"dating". Duit yang emak ayah berikan habis untuk ber"sms" dengan dara atau teruna pujaan. Mat-mat motor dengan cara mereka tersendiri. Merempit di kala malam menjelang. Menganggu ketenteraman hidup orang lain. Pantang ditegur, yang menegur disepak terajangnya. Aduhai...apa nak jadi dengan bangsaku di zaman Islam Hadhari ini. Kadar rasuah dan jenayah semakin meningkat. Wang rakyat habis dirompak seperti dalam laporan audit negara. MasyaAllah.. Ini lah akibatnya apabila dasar yang dilaksanakan dalam sesuatu sistem kehidupan atau pengurusan tidak berlandaskan AlQuran dan Sunnah.

Ketika anak - anak remaja Islam sedang asyik berkhayal dengan lamunan cinta remaja mereka atau merempit di jalanraya bagaikan jalanraya itu mereka yang punya, teman - teman dari bangsa yang lain sibuk menadah buku di perpustakaan atau berbincang soal perniagaan mereka. Dalam minda mereka hanya kata, "aku mahu jadi millionaire". Aduh..sungguh hebat mereka berusaha. Kalau dalam perniagaan..susah sekali bagi mereka untuk merasa malu untuk membuat pemasaran kepada para prospek- prospek. Tapi anak - anak remaja Melayu Islam entah ke mana..?Ke masjid untuk solat berjamaah?Ke kuliah-kuliah agama? Ke program-program ilmiah? sibuk berjumpa pelanggan untuk perniagaan? Tidak...mereka menghibiskan masa dengan perkara yang sia - sia.


Wahai bangsaku..
Marilah kita bangunkan umat ini.

Wahai remajaku...
Mari kita jadi pembela agama Allah ini..


Mari bersama kita duduk di halaqah mentadabur ayat - ayat Allah, mendalami hadis - hadis Rasullah. Bersama di bawah payungan para malaikat Allah. Kita sama - sama membina peribadi-peribadi soleh walmusleh. Moga - moga suatu ketika akan lahir jiwa - jiwa dua't yang akan membawa halatuju negara kepada suatu suasana Islamiah yang mendapat rahmat dan redha Allah.

Faqir Ilallah,
YuzZ