Sunday 6 December 2009

Kelahiran Amni Nasuha...


Assalamualaikum wbt,
Dah beberapa hari cuba menggunakan internet di rumah mertua di Bahau, tetapi hari ni baru berjaya. Entah apa yang tak kena. Sejak petang Khamis sejerus sampai di Kg Jambu Lapan ni, terus aku mendapatkan komputer, tapi tak berjaya. Bersabar jer lah. Rasa hati ni dah meluap - luap nak menulis di blog Cetusan Naluri sejak hari pertama baby Amni Nasuha di lahirkan, tapi malangnya ruang waktu sentiasa dihimpit kesibukan. Maklumlah, jadi baba dan mama muda yang tak banyak knowledge tentang pengurusan anak kecil.

27 Dis 2009 ( 10 Zulhijjah )
, jam 3 pagi isteri tersayang terasa sakit sedikit - sedikit tetapi tidak terlalu kerap. Aku yang keletihan terus tidur lena. Jam 5 pagi aku terjaga, lampu bilik terang benderang. Kelihatan isteri sedang solat sunat. Memang itu menjadi rutin kami hasil dari tarbiyah yanh kami terima. Solat malam adalah sebahagian dari mutaba'ah amal kami dalam keluarga di sampai perkara - perkara lain seperti solat berjamaah, istiqfar 100x sehari, solat di awal waktu , tadabbur alQuran dan lain - lain . Selepas solat subuh, aku memaklumkan pada bonda (kami bermalam di rumah bonda ku di Pendang, Kedah )untuk ke Kedah Medical Centre (KCM) kerana isteri sudah terasa sakit sedikit - sedikit. Ini pengalaman pertama kami. Kelihatan waktu tu, bondaku baru selepas solat subuh. Ayahanda belum lagi pulang dari masjid. Mungkin lama bertakbir dan mendengar tazkirah subuh.

7.30pg, kami sampai di KMC. Isteri dan aku terus di bawa ke labour room. Isteri diperiksa oleh petugas-petugas di labour room. Selepas menghantar isteri ke labour room, aku turun semula ke kaunter pendaftaran menyelesaikan pembayaran deposit. Kemudian aku naik semula ke labour room di aras pertama. Aku dimaklumkan, bukaan sudah 2cm. InsyaAllah, aku mendoakan isteri akan bersalin hari ni juga.

Jam 8.30 pagi, isteri tercinta memberitahu aku, "Abang pergi lah masjid dulu, solat sunat hari raya. Saya lambat lagi ni, baru 2cm". Aku pun terus mencapai kunci kereta dan menuju ke masjid berhampiran KCM, bersama mengalunkan takbir Hari Raya Aiduladha. Di masjid, aku tak henti - henti mendoakan moga isteri ku dipermudahkan Allah utk melahirkan baby pertama kami.

9.45pg, selesai solat sunat Aiduladha, aku melihat di handphone ada sms dari isteri minta dibelikan sedikit makanan kerana terasa lapar. Aku sendiri terasa lapar. tak sempat nak jamah ketupat pulut dan gulai daging yang mak buat sebelum ke KMC tadi. Fikir aku, kat mana lah nak dapatkan makanan hari raya ni.Lagi pulak isteri minta nak makan nasi lemak. Aduh..puas aku meninjau sampai ke jalan Sultanah Sambungan, ada 7eleven je yang buka. Aku masuk dan belikan roti serta air mineral. Kemudian, terus balik ke KMC. Bila masuk je labour room, nurse bagi tau, "Dr Maslina tak boleh makan dan minum," bukaan sudah 3cm. Aku pun letakkan roti dan air mineral yang dibeli tadi di atas rak yang disediakan. Isteri berpeluh menahan kesakitan. Aku sentiasa ingatkan isteri, jangan lupa istiqfar dan selawat pada Nabi. Tak lama kemudian, bonda dan ayahanda ku pun sampai di KMC. Hanya bonda masuk ke labour room menemankan isteri dan aku.

1.00tgh, kesakitan isteri bertambah - tambah. Dr Zuraini yang datang check pukul 11 tadi maklumkan pada ku insyaAllah akan bersalin hari ni. Sama - sama menanti bukaan hingga 10cm. Ketika jam 1.05tgh, bukaan sudah 5cm. Aku sama - sama berzikir , berdoa, menenangkan isteri. Aku minta bondaku yang sejak pagi tadi bersama menemankan isteri ku. Aku katakan pada isteri utk pergi menunaikan solat Jumaat bersama ayahanda. Sepenjang berada dimasjid, aku terus mendoakan isteri hinggakan aku tak sedar orang lain memerhatikan aku yang berlinang airmata. Kesakitan isteri tak dapat aku bayangkan. Masa tu teringat aku, baginalh bonda semasa nak lahirkan aku dulu. Ya Allah, betapa sukarnya seorang ibu utk melahirkan anak.

2.15 ptg, selesai solat Jumaat aku terus ke labour room. Nurse bagi tau, bukaan dah 9cm dan insyaAllah sekejap lagi akan melahirkan cahaya mata kami. Aku menemani isteri hingga selesai melahirkan baby perempuan yang diberi nama Amni Nasuha. Airmataku mengalir saat kelahiran ini, melihat kesakitan yang teramat sangat. Alhamdulillah, baby Amni di mandikan oleh nurse dan diberikan padaku untuk diazankan dan diiqamahkan. Kemudian aku mentaknik baby Amni dan selepas itu baby Amni di susukan oleh isteriku.

Pengalaman menyaksikan kelahiran anak sendiri lebih menyedarkan aku tentang pengorbanan, susah payah bonda melahirkan aku dahulu. Juga mengingatkan aku kebimbangan dan kegelisahan ayahanda seperti mana aku resag gelisah menantikan kelahiran baby Amni. Terima kasih bonda dan ayahanda atas segala pengorbanan mu selama ini. Betapa banyak dosa dan kesilapan ku pada kalian, tolonglah ampuni daku. Sesunggahnya segala pengorbanan kalian tak mampu aku balas.

Buat isteri tercinta, terima kasih kerana bersusah payah mengandungkan dan melahirkan baby Amni yang comel. Moga kehadiran baby Amni menyuburkan rasa cinta kita. Buat Amni, baba dan mama doakan moga Amni menjadi anak yang solehah, menjadi pejuang untuk menegakkan Islam di muka bumi Allah. Moga kita semua sentiasa dalam redha dan kasih sayang Allah.

Mohd Fairuz Jafar
Kg Jambu Lapan
Bahau,N9.

Wednesday 4 November 2009

Excuse Me, You Ada Tauliah ???

Jika anda hendak beri ceramah
Anda mesti mempunyai tauliah
Anda ada PhD dari Madinah
Anda adalah seorang Pensyarah
Anda bekas Mufti Makkah
Anda dapat A dalam Syariah
Anda hafiz Quran dan Sunnah
Anda digelar Ustaz atau Ustazah
Anda dikurniakan Tokoh Maal Hijrah
Anda hendak bicara pasal aqeedah
Anda hendak bercerita seerah
Anda hendak mengajar lughah
Anda duduk dalam Panel Syariah
Anda Presiden Jamaah Islah
Di Selangor anda kena pohon tauliah
Kalau tak ada JAIS serbu rumah
Tak kira Taman UK atau Ulu Kedah
Apatah lagi anda menentang kenduri arwah
Atau anda sebut bertalqin itu bidaah
Atau tak setuju Yasin malam Jumaat itu sunnah
Atau suka Wahhabi macam kat Makkah
Di alHaram mereka mungkin bermufaraqah
Sebab Sudais, Shuraim semua Wahabiah
Anda sebut Islam itu Mudah
Sebab Islam itu bagi mereka payah
Sebab nak kena samak satu rumah
Kena masuk Islam kena berbinkan Abdullah
Kena pakai baju Melayu baru nampak Islamiyah
Inilah pertembungan tradisi dan sunnah

Dipetik hasil nukilan Keris Silau di JIMPP.net
3 November 2009

Monday 26 October 2009

Konflik Cinta..




" Aku ada masalah Fairuz, sejak dua bulan lepas aku memang mahu menyendiri, aku tak mau diganggu, aku geram", seorang sahabat aku meluahkan rasa.

" Kau ni kenapa? Apa yang tak kena? Kawan - kawan call pun kau tak jawab, semua orang risau", aku bertanya.

" Saja aku buat macam tu, aku geram sangat,aku rasa nak tinggal kat Sabah ni, nak cari orang semenangjung yang kerja kat Sabah, nak kahwin di sini, nak tinggal di sini," dia terus membebel dalam nada sedih.

"Eh..lain macam jer ko ni...putus cinta ker?," aku meneka.

"Aaah..aku benci sangat. Dulu sebelum dapat kerja, layan jer apa aku cakap, tapi sekarang, baru dapat kerja jadi lecturer kontrak, dah tak nak dengar luahan hati aku,"

"Erm...apa yang kau nak sebenarnya?",aku terus bertanya.

"Kau pun tahu kan, macam mana aku kat Sabah ni, aku cuma nak perhatian dari orang yang aku sayang jer, aku hanya nak berkongsi, nak ada orang dengar luahan perasaan aku, aku tak minta duit pun, aku hanya minta perhatian...tapi dia tak boleh memahami aku, sekarang nak cakap dengan aku pun tak nak, so aku ambik keputusan, putuskan saja", sahabat lama ku ini menjelaskan dalam tangisan.

" Kau menangis sebab terlalu sayang pada dia, tapi dia lupakan kau kan...sekejaqp saja dia hadir dalam hidup kau, tapi si dia tak boleh memahami kau", aku menambah.

"aah...aku rasa dia ada orang lain...dah tak mau kat aku", dia menjelaskan dalam nada tangis yang semakin laju.

"Erm, aku rasa elok juga kau dah putus dengan dia, sebelum kau kahwin dengan dia. Kau nak putus sebelum kahwin atau putus selepas kahwin?", aku menyoal.

"Kenapa kau cakap macam tu?",dia bertanya.

"Tuhan sayangkan kau, cuba kau fikir masak - masak. Biasanya, semasa alam bercinta, pasangan akan sentiasa menjaga tingkah laku dan tutur kata supaya tidak mengguris hati pasangan, nak jaga hubunganlah kononnya, tapi dalam situasai kau, pasangan kau ni sudah menunjukkan sifat dia yang sebenar, dia tak boleh memahami kau, tak mahu melayan luahan hati kau yang sepi tu, sepatutnya kau bersyukur, Tuhan sayangkan kau, kau dapat lihat sikap pasangan kau yang sebenar sebelum kau nikah dengan dia", aku menjelaskan.

"Erm..mungkin jugak",dia mendengus.

"Kau menangis kerana pasangan yang sementara tu, tapi mungkin kau lupa, ada cinta yang lebih hebat dari itu," aku menyambung.

"Apa dia..? Aku tak da orang lain", dia mencelah.

"Kau mungkin terlupa, Allah tidak pernah melupakan kita walau sesaat,walau sedetik pun dalam kehidupan kita. Kita pernah lupa pada Allah, solat kita yang jarang kusyuk, amalan yang adakala hilang keikhlasan, ibadah yang lintang pukang,tapi walaupun kita begitu, Allah tidak pernah lupa pada kita, Allah terus - menerus melimpahkan kasih sayangnya, menantikan kita mohon ampun, menantikan kita untuk merasai kenikmatan cinta Nya yang Maha Penhasih dan Maha Penyayang. Kenapa kita jarang sekali untuk menangis kerana bimbang andai Allah tak sayang pada kita lagi??? Tapi kita menangis kerana seseorang yang sedang manusia meniti kehidupan yang sementara,"aku menjelaskan.

"Erm..macam mana nak rasa?",

"Beristiqfarlah, mohon ampun dari Allah, ungkapkan kata-kata taubat padaNya, Allah menanti untuk mengampunkan dosa - dosa kita, begitulah betapa kasihnya Allah pada kita," aku menjelaskan lagi.

"Berdoalah dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. InsyaAllah, Allah akan perkenankan doa kita, bersangka baiklah dengan Allah. Soal pasangan hidup, dlm berusaha berdoalah pada Allah, perkahwinan bukan untuk sehari dua, tapi kita mengharapkan pasangan hingga ke syurga, andai kita baik dengan Allah, Allah akan berikan yang terbaik pada kita", aku terus menjelaskan.

" Terima kasih Fairuz, aku rasa semangat sikit, mungkin aku juga banyak kesilapan dalam perhubungan", dia menambah.

" Setiap insan tak lari dari kesilapan, jadikan ia sebagai satu pengalaman hidup untuk kita lebih matang meniti hari mendatang,"aku mencelah.

Ni antara luahan hati seorang sahabat karib aku yang di"posting"kan ke luar bandar di Sabah. Sebagai hamba Allah, kita mesti selalu ingat pesan Nabi :

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka.

(Bukhari : no. 15, Muslim : no. 60, Tirmizi : no. 2548 Nasaie : no. 4901)

Friday 16 October 2009

Rutin Hujung Minggu...

Assalamualaikum wbt..

" Hang ulang alik setiap minggu dari Cameron Highland?", itu nada terkejut teman - teman yang amat biasa bermain di telinga ku. "Yer..nak buat buat macam mana..dah tanggungjawab, di Cameron Highland juga ada tanggungjawab, di Sungai Petani pun ada tanggungjawab", jawabku mudah.

Hari ni macam biasa, aku akan balik ke Sg Petani bersua dengan isteri tercinta. Semalam tak sempat bercakap lama dengan isteri lantaran kesibukannya bertugas di wad NICU HSAH, Sg Petani. Adakalanya, aku balik ke Sungai Petani hanya beberapa minit sahaja dapat berjumpa dengan isteri kerana tugas houseman memang sibuk, apatah lagi kalau dia "on call". Nak buat macam mana, tugas yang dilakukan isteri juga adalah satu amanah.

Alhamdulillah, sehingga kini kami berdua saling memahami tugas masing - masing. Dalam kesibukan kerja dan jarak antara kami yang berjauhan memerlukan kesabaran yang tinggi dalam menguruskan rumah tangga. Toleransi kekeluargaan menjadi intipati utama mengemudi bahtera kehidupan berumah tangga yang mencabar.

Masa hujung minggu adalah "quality time" bagi kami. Walaupun hujung minggu kami perlu menghadiri usrah mingguan sebagai salah satu wasilah tarbiyah kami. Isteri berusrah pada pagi Jumaat, manakala aku pada sebelah malamnya. Biasanya sampai di Sungai Petani pada hari Jumaat pada jam 5 petang. Bila sampai jer..kami akan keluar dating. Maklumlah, masa kenal dulu kami tak pernah dating. Tapi bila sudah berkahwin, kami ingin menikmati saat romantis berdua-duaan ke sana sini. Malamnya aku perlu menghadiri usrah.

Solat berjamaah dan mentadabur ayat - ayat cinta Allah menjadi rutin kami. Ini cara utama kami memanfaatkan masa yang singkat pada hujung minggu. Selain balik ke kampung di Pendang menziarahi mak dan ayah ku. Tanggungjawab anak lelaki ini pada ibu dan ayah masih menjadi keutamaan. Alhamdulillah, dapat isteri yang ditarbiyah, dia amat memahami. Tapi keluarga isteri juga tidak diabaikan. Sentiasa mencari waktu untuk pulang menziarah keluarga isteri di Bahau, Negeri Sembilan.

Ketika sudah berkeluarga, pengagihan masa tak sama lagi seperti masa bujang dahulu. Setiap keputusan harus dibincang bersama pasangan. Barulah ada kenikmatan. Bila berbicara soal dakwah, bila berkerjaya dan berumah tangga barulah ia benar - benar teruji. Dalam kesibukan mengurus kerjaya dan rumah tangga, adakah masih ada ruang utk hadiri program - program jamaah. Semuanya pada diri sendiri. Mahu atau tidak. Berapa ramai yang dulunya hebat di kampus, ceramah berapa - rapi, semangat perjuangan Islam bergema, usrah sana sini, tapi selepas berkerjaya dan berkeluarga semuanya lenyap belaka....

" Ya Allah, tingkatkan ketaqwaan kami kepada Mu..tetapkan kami dalam perjuangan agama Mu".

Sunday 6 September 2009

Ramadhan Kali Ini...


Hospital Sultan Abdul Halim, Sg Petani, Kedah.


Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, sehingga saat ini Allah SWT masih memberikan kekuatan untuk melaksanakan ibadah puasa yang menjadai kewajipan bagi setiap insan bergelar muslim. Baginda Rasul SAW pernah berdoa, "Ya Allah berkatilah aku dalam bulan Rajab dan Syaban, dan sampaikanlah aku pada bulan Ramadhan". Berapa banyak lagi ayat - ayat cinta Allah dan pesanan kasih dari Nabi tercinta berkaitan kemualiaan Ramadhan. Bulan Ramadahan sebagai bulan tarbiyah untuk mendidik jiwa kita kepada keikhlasan, kepatuhan, ketaatan dan kesabaran dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim. Puasa dalam bulan Ramadahan juga bukan alasan untuk tidak melonjakkan kualiti dalam kehidupan kita seharian. Sepatutnya, Ramadhan sebagai madrasah tarbiyah menjadikan kita lebih hebat dalam ibadah dan prestasi kerja. Bukankah peperangan Badar juga berlaku pada bulan Ramadhan? Mengapa tidak kita mengambil iktibar dari peristiwa besar itu? Bukan kah peristiwa itu menjadi bukti kekuatan umat Islam mengharungi dugaan dan rintangan? Malah berapa banyak lagi peperangan yang berlaku dalam bulan Ramadhan yang Allah kurniakan kemenangan kepada Islam.

Ramadhan kali ini ialah kali kedua aku tidak lagi berpuasa bersama teman - teman dan adik - adik usrah di kampus. Terasa amat rindu kepada adik - adik usrah yang amat ku sayangi ketika di kampus. Aktivitas bersahur, berbuka, bertaraweh, bertadarus al Quran dan qiamullail bersama menghidupkan malam - malam Ramdhan memburu Lailatulqadar segar dalam ingatan. Pagi semalam, sempat menjengah rumah ustaz Khairul Annuar di Tasek Gelugor, bertemu ikhwah dan akhwat Karisma Pulau Pinang dalam program Tamrin Penggerak. Sempat mengikuti pengisian dari ustaz Khairul bertajuk "Halatuju Dakwah". Ustaz menceritakan pengalaman pahit manis berkecimpung dalam jamaah Islam sejak di kampus. Pastinya ia sedikit sebanyak mengetuk hatiku dan mengoncang minda untuk berfikir tentang sumbangan ku pada dakwah Islam dan jamaah. Sumbangan apa yang telah ku hulurkan untuk agama Allah? Sesungguhnya, kepayahan, kesulitan yang ku alami jauh lebih ringin andai dibandingkan dengan perjuangan Rasulullah saw, para sahabat, pendokong - pendokong gerakan Islam di Palestin, Afghanistan, Kosovo dan lain - lain. Perjungan mereka hingga mengorbankan jiwa- jiwa mereka untuk mencari kemuliaan di sisi Allah swt.

Puasa tahun ni, tak lagi puasa seorang kerana menikmati beramal di bulan mulia ini dengan isteri tersayang. Walaupun hanya pada hujung minggu sahaja dapat bersahur, berbuka dan bertaraweh bersama isteri, tapi ia cukup memberi makna dan lebih mengikat tali cinta. Malam pertama Ramadhan, isteri "on call".Selepas bertaraweh di Surau Al- Hidayah , Taman Ria Jaya, terus ke pasaraya membeli sedikit barang keperluan untuk memasak. Aku memasak sampai pukul 12 tengah malam. Selepas membersihkan ruang dapur rumah yang bersepah ( maklumlah suami yang tak pandai masak) , aku terus ke hospital bertemu isteri di wad Orthopedik. Masa aku sampai di wad, bertanya di mana Dr Maslina di kaunter? Jururawat kata ada di bilik "procedure". Kesibukan isteri dan aku yang ternanti - nanti membuatkan aku terlelap di atas sofa sampai memegang juadah bersahur yang telah siap. Jam 2.30 pagi baru sempat jumpa dengan isteri dan dia membawa ku ke bilik. Sempat berbual sebentar melepas rindu. Kemudian isteri bersolat isyak dan taraweh seorang diri dan aku terus terlelap. Jam 5 pagi, isteri mengejutkan aku untuk bersahur. Dia yang tidak sempat tidur walau seminit menikmati masakan bersahur yang aku bawa. Alhamdulillah, walaupun dalam kesibukan Allah masih kurniakan kami ruang waktu yang sedikit untuk dapat bersahur bersama. Itu adalah masa yang amat berkualiti bagi ku. Kesibukan isteri membuat aku lebih terfikir, isteri yang lebih sibuk masih mampu memberi komitmen kerja yang tinggi dan menghidupkan malam - malam Ramadhan, menjaga kualiti kerja, adakah aku juga seperti dia???

Ramadhan semakin berlalu pergi. Tahun hadapan, adakah pasti berjumpa lagi? Suatu yang tidak pasti. "Fairuz! Jangan lepaskan peluang pada Ramadhan ini..Allah masih memberi ruang waktu padamu untu kau menghampirkan diri padaNya, kerana itu bukti kasih Allah pada hambanya"

Sunday 19 July 2009

Ujian Kesabaran...

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt.

Sudah lama aku tak "update" blog ni. Sejak 7 bulan yang lalu blog peribadi ni aku biarkan tanpa diusik lantaran kesibukan. Hari ini aku diuji dengan kesibukan. Sibuk dengan kerjaya, rumahtangga dan hal - hal lain. Alhamdulillah, ucapan ringkas mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah, walau dalam kesibukan , masih Allah berikan padaku ruang untuk mengisi detik - detik waktu yang masih berbaki dalam hidupku untuk bersama dalam dakwah sekadar kemampuan ku.

Kini bertugas di sekolah yang lebih jauh di pedalaman. Lebih jauh dari sekolah dahulu, tempat pertama aku ditempatkan (posting) iaitu SK Menson. Berada di sesuatu tempat, pastinya ada kenangan yang akan kita simpan sebagai satu pengalaman dalam meniti kehidupan. Terima kasih kepada sahabat - sahabat di SK Menson atas segala pertolongan sepanjang aku berada bersama kalian. Aku menghargai mereka. Pengalaman yang mereka kongsikan , bual bicara, nasihat, tunjuk ajar yang mereka berikan amat aku hargai. InsyaAllah, rakan - rakan yang pernah bersama aku atau yang pernah aku kenali, sentiasa aku hadirkan mereka dalam doaku. Tidak pernah lupa doa buat teman - teman yang pernah aku kenali kerana mungkin mereka pernah mendoakan aku dalam doa mereka, hanya Allah yang tahu. Kadang kala seseorang lebih senang mengkritik , menghina, maki hamun, memberi umpatan , memfitnah sahabat - sahabat atau kenalannya, tapi mungkin insan yang pernah kita fitnah, umpat, maki hamun, insan itu pernah mendoakan kesejahteraan hidup kita. Mungkin kejayaan dalam kerjaya, kehidupan berkeluarga kita pada hari ni adalah tempiasan doa dari kenalan - kenalan kita.Wallahua'lam.

Kini di SK Telanok, alhamdulillah suasana yang tidak jauh berbeza dengan SK Menson dahulu. Di temani oleh teman - teman yang sudi memberi bimbingan di sekolah baru. Tak kita dimana pun tempat bertugas, niat di hati untuk membimbing anak - anak dengan ilmu pengetahuan agar mengenal Tuhan. 60% anak - anak di SK Telanok ni terdiri dari anak - anak yang bukan beragama Islam. Moga dengan ilmu yang diberikan oleh teman - teman guru di sini, suatu ketika mereka akan mengenal Allah SWT. Inilah dakwah kita. Tidak terbatas dengan ruang waktu dan lokasi. Di mana sahaja kita berada, tugas kita tetap sama dengan niat membawa manusia mengenal Allah. Mungkin yang berbeza adalah cara kita melaksanakannya.

InsyaAllah, aku yakin dengan ketentuan Allah. Biarpun jauh dari isteri tersayang yang terpaksa tinggal berseorangan, tapi pasti apa yang Allah berikan ada kemanisannya bila berfikir dengan kelapangan hati dan fikiran. Belum dapat tukar untuk kembali ke Kedah, pasti ada hikmahnya. Ini lah keindahan iman. Mungkin saat ini Allah sedang berbicara dengan dengan aku tentang keikhlasan dan kesabaran. InsyaAllah, disebalik kesukaran, pasti ada kesenangan.