Bismillahirrahamanirrahim.
Sudah beberapa minggu aku tidak berkesempatan untuk menulis di blog ini lantaran kesibukan yang menghambat diriku. Sibuk dengan peperiksan akhir semester dan beberapa program yang perlu aku hadiri.
Alhamdulillah, akau habis peperiksaan semester pada 30hb November 2007, hari yang sama juga berlangsung program mukhayam bersama teman-teman JIM Kedah di Teluk Duyung. Malangnya aku tidak dapat bersama mereka walaupun niat asal ingin bersama. Perancangan Allah itu lebih hebat dari perancangan manusia.
1 Disember aku pulang ke rumah. Sudah lama tak balik rumah atas kesibukan diri ini. Alhamdulillah, dapat berjumpa dengan mak, ayah dan adik-adik. Aku habiskan masa di rumah dengan membantu mak dan ayah membersihkan rumah di samping aku menggunakan masa ku untuk membaca dan menulis di samping menghafal beberapa ayat – ayat suci al-Quran dan beberapa potong hadis sebagai mutaba’ah amal.
7 Disember aku bertolak ke Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (SAINA) untuk bersama dengan teman-temanku mengendalikan Summer Camp di bawah pengurusan Akrab Managment Sdn Bhd. Inilah rutinku apabila cuti semesterku selari dengan cuti sekolah. Sejak tahun 2003 aku terlibat sebagai fasilitator program Summer Camp. Program yang berlangsung sehingga 11 hb Disember ini sentiasa meningalkan kesan di dalam hati kecil ku sebagai salah seorang fasilitator yang mengendalikan peserta – peserta program. Program Summer Camp ini memfokuskan kepada kemantapan ibadah dan kecemerlangan hidup berdasarkan lima prinsip yang digariskan iaitu kecintaan kepada Allah, kecintaan kepada Rasul, kecintaan kepada ibu bapa, kecintaan kepada ummah dan kecintaan kepada kecemerlangan.
Semasa program Summer Camp kali ini, aku mengendalikan 11 orang peserta tingkatan 2. Perkara pertama yang aku semak dari adik – adik ini ialah syahadatain mereka. Rupanya, ada di antara mereka tidak tahu mengucapkan dua kalimah syahadah dan tidak mengerti apa itu syahadatain. Kedaan ini sama seperti aku mengendalikan satu program bersama teman – teman K-Fasi KARISMA Pulau Pinang di Pulau Jerjak beberapa bulan yang lalu yang mana program itu adalah program bersama Kelan Remaja JIM (KRJ Pulau Pinang) dan sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang di mana ada ramai di antara peserta tidak tahu mengucapkan dua kalimah syahadah.
Berbalik kepada Summer Camp. Aku memberikan lebih perhatian kepada adik – adik Summer Camp yang tidak tahu syahadatain dan tidak tahu mengerjakan solat. Ada yang tidak tahu bagaimana niat solat lima waktu. Bayangkan, sudah tingkatan 2, sudah baliqh tetapi solat nya tidak pernah ditunaikan. Jika dilakukan pun hanya mengikut pergerakan orang lain tetapi tidak memahami apakah intipati solat yang sebenar. Aku mengajar adik – adik ini syahadatain. Menunjukkan cara yang betul untuk berwudhuk dan mengajar mereka cara yang betul menunaikan solat. Alhamdulillah, selepas 4 hari 3 malam aku ”memproses” mereka, mereka yang asalnya tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah, tidak tahu solat, tidak tahu membaca surah al-Fatihah sudah mampu melaksanakan solat. Biarpun hanya perkara rukun sahaja yang mereka lakukan di dalam solat mereka, alhamdulillah bagiku mereka sudah mampu menunaikan solat daripada tidak bersolat terus-menerus.
Semasa program ini juga, seperti biasa aku melakukan slot muhasabah diri bersama adik- adik di bawah jagaan ku. Aku mengorek rahsia – rahsia yang terbuku di hati kecil mereka. Remaja – remaja ini apabila kita dekati dengan penuh hemah dan kasih sayang insyaAllah mereka akan meluahkan rasa hati dan masalah mereka. Mereka menyatakan mereka juga ingin menjadi manusia yang baik, tetapi mereka mudah tergoda dengan ajakan teman- teman mereka. Mereka juga meluahkan rasa dan menitiskan air mata bila aku menceritakan detik – detik kamatian manusia. Mereka mengatakan kepada aku sambil memelukku, ”Abang Yuzz, saya ingin bertaubat, saya tak akan tinggal solat lagi, saya tak sabar nak peluk cium ibu saya dan minta dihalalkan air susu ibu yang mengalir dalam tubuh saya, saya nak minta ampun pada ayah atas dosa-dosa saya”. Alhamdulillah, moga kesedaran dan keinsafan adik –adik ini berterusan.
Cuma, amat ku bimbangi mereka akan kembali kepada kajahilan mereka apabila bersama teman – teman di luar sana. Selalu aku katakan kepada ibu bapa kepada anak – anak Summer Camp ini,”Pakcik dan makcik, kami abang – abang dan kakak – kakak fasi hanya boleh berusaha dalam 4 hari 3 malam ini membantu membuka mata hati adik – adik ini melihat kebenaran, menjunjung tinggi Allah SWT. Taat pada perintah Allah. Tapi masa kami hanya 4 hari, seterusnya makcik dan pakciklah yang mesti meneruskan pentarbiyahan ini, dan yang paling penting janganlah tinggal untuk bersolat berjamaah bersama anak-anak ini”. Moga – moga kata – kata ku ini mereka hayati, insyaAllah.
Mengenangkan apa yang berlaku kepada remaja – remaja ini menyedarkan aku tentang tanggungjawabku sebagai seorang muslim. Program – program seperti ini lebih membuka mata dan minda ku betapa meruncingnya krisis aqidah dan akhalak di kalangan remaja – remaja Islam. Aku mula bertanya kembali kepada diriku yang kerdil ni apakah aku sudah berusaha atau sedang berusaha dalam dakwah untuk kembali menyedarkan ummah? Apakah aku sedang bekerja untuk masa depan ummah? Atau aku masih leka dan berkhayal dengan perkara – perkara lagha dalam kehidupanku. MasyaAllah..menitis air mata mengenangkan perjuangan Rasulullah saw untuk membawa ummat manusia kepada cahaya kebenaran. Teringat kisah kehidupan pemuda Mus’ab bin Umair yang meninggalkan kehidupan mewah untuk melebarkan sayap dakwah agama suci ini. MasyaAllah, di manakah usaha aku untuk mengislahkan diriku dan ummah manusia??? Persoalan ini sentiasa bermain di benak mindaku. Ya Allah...jadikan aku hamba yang berada dalam saf perjuangan agamamu.
12 Disember , aku bertolak ke Pulau Pinang. Memandu seorang diri bertemankan alunan – aluanan ayat – ayat yang mulia bacaan Syeikh Masyari menuju ke Sekolah Tahfiz Islah (STAIL). Alhamdulillah, program Tamrin Nuqaba’ KARISMA Pulau Pinang amat bermanfaat bagi pencinta – pencinta perjuangan Islam merangka strategi dakwah. Moga – moga apa yang dipelajari semasa tamrin seperti tadabur surah As-Saff, dakwah fardiyah, amal jamaie, dan sebagainya dapat diterjemahkan dalam kehidupan peserta program dalam menggerakkan dakwah, InsyaAllah.
Jika dari saat ini kita masih leka dan alpa dengan keindahan dan kenikmatan dunia yang sementara dan seolah – olah lupa nikmat syurga yang lebih mengiurkan dari nikmat dunia, renungkanlah nasib ummat 10 tahun akan datang. Jika ada di kalangan remaja Islam hari ni sudah tidak tahu syahadatain, bagaimana kehidupan mereka 10 tahun akan datang. Ya..mungkin mereka boleh berjaya dalam akademik, tapi rohnya kosong. Jiwa nya kaku. Mungkin kerjayanya hebat, tapi rasa ketuhanan tidak ada. Soal dosa pahala, syurga neraka tidak ada dalam diri mereka. Maka akan lahirlah pentadbir – pentadbir yang rasuah, pecah amanah, khianati hak rakyat, materialistik dan sebagainya. Maka ia menjadi tanggungjawab kita untuk memperkasakan dakwah dan gerak kerja jamaah, InsyaAllah.
Ya Allah..bantulah kami, kuatkan jiwa kami, teguhkan pendirian kami dalam perjuangan menegakkan agamaMu. Berilah hidayahMu kepada saudara – saudara kami yang masih jahil terhadap keagunganMu...Ya Allah...hampirkanlah kemenangan kepada kami agar syariatmu tertegak di muka bumi ni..Ameen.
Mohd Fairuz
KARISMA Pulau Pinang
1 comment:
nice
Post a Comment