Friday, 23 November 2007

Isteri Solehah Kekasih Rasulullah SAW

NABI Muhammad s.a.w adalah contoh dan lambang lelaki Islam sempurna dalam pembentukan hidup berkeluarga.Dalam sirah pembangunan dakwah dan aturan hidup berlandas Islam yang menjadi perjuangan ketika hayat baginda, ciri-ciri seorang lelaki sempurna itu sudah siap menonjol semenjak awal lagi.Tidak hairanlah mengapa baginda menjadi pilihan Saidatina Khadijah Khuailid seorang janda dan ahli perniagaan yang kaya-raya jatuh hati untuk berkongsi hidup dengan baginda.Kerana sifat-sifat rajin bekerja dan amanah yang ada dalam diri baginda Rasulullah, baginda telah dipilih oleh Saidatina Khadijah untuk menguruskan perniagaannya.

Di bawah penyelenggaraan Rasulullah perniagaan yang diserahkan kepada baginda telah mendapat keuntungan dan laba yang banyak.Khadijah yang pada mulanya hanya sekadar percaya terhadap Muhammad, lama-lama berubah menjadi hormat serta kagum, akhirnya jatuh cinta kepadanya, sekalipun umurnya lebih tua daripada Muhammad.Di atas segala kesempurnaan ini Saidatina Khadijah telah melamar Muhammad. Sewaktu pasangan ini melangsungkan perkahwinan, Muhammad berusia 25 tahun sedangkan Khadijah seorang janda berusia 45 tahun. Tetapi kerana baginda seorang lelaki Islam contoh perkahwinan pasangan ini sejahtera berkekalan.Sebuah perkahwinan yang amat indah dan ideal sekali, penuh dengan rasa saling menyintai, hormat-menghormati dan percaya mempercayai. Khadijahlah isteri yang paling dicintai Rasulullah.

Rasulullah tak pernah kahwin lain selama Khadijah masih hidup.Dialah wanita pertama yang masuk Islam, ibu kepada semua anak Rasulullah. Dan dialah juga wanita pertama masuk syurga, yang membela Rasulullah dengan sepenuh jiwa raga serta berkorban harta benda demi untuk menegakkan agama Islam yang mulia.Cinta kasihnya tidak pernah berubah, sentiasa memberikan sokongan walaupun Rasulullah menghadapi tentangan hebat daripada musuh-musuh Islam, sewaktu awal usaha dakwah disebarkan ke seluruh Kota Mekah.Walaupun ditentang oleh kaumnya sendiri tetapi Rasulullah terus mendapatsimpati dan dampingan penuh kasih sayang daripada isterinya Khadijah.Sebagai seorang wanita yang kaya-raya, Khadijah tidak pernah tamakkan harta kepunyaannya. Dia bukan sahaja menjadi pendamping Rasulullah yang setia tetapi sanggup berkorban segala harta kepunyaannya demi untuk menyebarkan kerja-kerja dakwah Islam yang diusahakan oleh Rasulullah.

Perbezaan usia tidak pernah menjadi penghalang kebahagiaan rumahtangga pasangan ini. Sebagai isteri seorang Rasulullah, Khadijah terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri tanpa berbelah bagi serta penuh setia.Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu dan diangkat menjadi Rasul ketika usianya empat puluh tahun. Wahyu pertama yang diterimanya ialah ketika baginda berada di 'Gua Hira'. Ketika itu wahyu pertama yang diterimanya ialah ayat Ikraq. Dalam keadaan menggigil Rasulullah pulang ke rumah kemudian menyelimutkan dirinya.Walaupun Khadijah berasa hairan dengan keadaan yang dialami oleh suaminya tetapi dengan penuh kasih sayang dia membantu menyelimutkan suaminya.Wahyu demi wahyu yang diterima melalui perantaraan Malaikat jibrail telah disebarkan oleh Rasulullah kepada kaumnya. Pada peringkat awalnya ia disampaikan secara bersembunyi-sembunyi selama tiga tahun berturut-turut.Dan di antara orang-orang yang paling awal dan hampir dengan Rasulullah yang beriman dengan segala seruan dan ajaran yang disampaikan ialah isteri tercintanya Khadijah, sahabatnya Abu Bakar, Ali bin Abi Talib serta Zaid bin Haritsah.

Keempat-empat manusia pertama yang masuk Islam ini menjadi lambang agama Islam sampai hari kiamat. Dan Khadijahlah wanita pertama yang memeluk agama Islam. Abu Bakar pula adalah seorang tua yang dalam akal serta pemikirannya lambang dari seorang cendikiawan atau intelek. Ali bin Abi Talib pula adalah wakil golongan muda sedangkan Zaid bin Haritsah pula ialah lambang seorang budak berasal hamba yang menjadi kesayangan Rasulullah.Itulah asal mula perjuangan Rasulullah menegakkan kebesaran agama Islam. Di sisinya berdiri menyokong ialah seorang isteri, sahabat karib, bapa saudara dan anak angkat kesayangannya.

Perjuangan Rasulullah penuh dengan segala cabaran dan dugaan. Tetapi sebagai seorang isteri berhati mulia Khadijah terus mendampinginya sehingga ke saat-saat terakhir hayatnya.Perasaan cinta kasih dan pengorbanan sebagai seorang isteri, sahabat dan pendam-pingsetiatidak pernah luntur di hati Khadijah walaupun terpaksa menempuh pelbagai rintangan dan halangan kerana suaminya telah dipilih Allah untuk menjadi penyebar agama mulia.Sebagai seorang isteri yang menjadi kesayangan Rasulullah, tidak hairanlah kenapa Rasulullah begitu sedih ketika Khadijah meninggal dunia. Sehingga baginda menamakan tahun kematian Khadijah sebagai 'Tahun Sedih'.Sudah semestinyalah pekerti Khadijah selaku isteri, ibu dan wanita ini menjadi contoh ikutan wanita Muslimin sejati.

Sumber: Perempuan November 1993

No comments: