Wednesday, 19 December 2007

Rahsia Kekuatan Islam Yang Dilupakan

Pada tengah hari di suatu hari Jumaat ketika sembahyang fardhu Jumaat yang pertama ketika hendak didirikan di Konstantinople, Muhammad Al-Fateh berdiri di hadapan perajuritnya. Lantas beliau berkata siapakah antara kita yang akan terpilih menjadi imam solat Jumaat yang pertama di bumi yang bari sahaja diIslamkan. Masing – masing anggota tenteranya memandang antara satu sama lain. Sungguhpun sebagai panglima, Muhammad Al-Fateh tidak pernah memandang dirinya sebagai yang terbaik,sifat rendah diri dan zuhudnya menyebabkan beliau masih memberikan ruang kepada anggota tenteranya memilih yang terbaik antara mereka semua.

Melihat semua anggota tenteranya diam, Muhammad Al-Fateh mencadangkan mereka membuat satu pemilihan. Lantas beliau mengarahkan para tentera termasuk dirinya bangun. Lalu berkatalah Muhammad Al-Fateh kepada seluruh anggota tenteranya yang baru sahaja menawan Konstantinople itu, ”Siapakah antara kamu sejak akil baligh tidak pernah meninggalkan sembahyang fardhu? Jika ada sila duduk!” Tetapi tidak seorang pun tenteranya duduk dan ini menunjukkan bahawa tidak ada tenteranya yang meninggalkan sembanhyang fardhu sejak akil baligh.

”Siapakah antara kamu yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan sembahyang sunat rawatib?” Pada ketika itu barulah ada tenteranya yang duduk dan separuh lagi masih berdiri. ”Siapakah pula antara kamu yang sejak baligh tidak pernah meninggalkan sunat tahajud?” Kini semua anggota tenteranya duduk kecuali Muhammad Al-Fateh, ternyata sejak baligh Muhammad Al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat sunat tahajud.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa ,” Konstantinopl akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik, dan rakyat yang baik.” Apa yang telah dilakukan oleh Muhammad Al-Fateh itu tidak mampu dilakukan oleh pahlawan – pahlawan Islam sejak zaman Khalifah ar-Rasyidin, zaman Umar Abdul Aziz dan ketika kegemilangan kerajaan Abbasiyah di Baghdad. Betapa ramai syuhada yang ingin menjadi pemimpin terbaik seperti yang terkandung di dalam hadis Rasulullah s.a.w, bagaimanapun Allah telah menetapkan bahawa manusia terbilang itu ialah Muhammad Al-Fateh.

Umat Islam pada suatu ketika dahulu menjadi umat yang kuat bukan sahaja kerana teknologi dan kekuatan senjatanya. Tetapi Islam menjadi kuat kerana pada ketika itu umat Islam tidak kira mereka pemimpin, hartawan, tentera dan rakyat adalah muslimin yang taat pada agama. Itulah kunci yng mana Allah memberikan pertolongan kepada Muhammad Al-Fateh Konstantinople yang pada ketika itu dikelilingi kota batu yang kukuh dan dikawal ratusan ribu tentera Rom.

Kisah ini menjadi satu pengajaran penting bagi semua pemuda pemudi yang mendokong perjuangan Islam. Kemenagan itu akan hampir kepada pendokong perjuangan apabila hubungan dengan Allah juga cemerlang di samping usaha yang istiqamah dan semangat perjuangan untuk mendapatkan redha Allah itu kukuh terpateri di dalam jiwa setiap pejuang. Ayuh kita muhasabah diri kita. Di dalam kehidupan kita seharian, sejauh manakah kita menjaga hubungan kita dengan Allah? Adakah seperti pemuda hebat bernama Muhammad Al-Fateh? Tepuk dada tanya iman.

Mohd Fairuz Jafar
KARISMA P.Pinang

No comments: