Tuesday, 19 October 2010

Ketenangan Yang Kian Tercalar...


Salam,

Fitrah manusia yang normal inginkan kebahagian dan ketenangan dalam hidup. Tidak ada siapa pun yang berkehendakkan kepada kegelisan dan kemurungan jiwa. Setiap saat yang berlalu bermakna perjalanan hidup yang kian berlalu. Peristiwa yang berlaku pada diri atau yang dilihat ditinggalkan sebagai sebuah kenangan untuk iktibar melalui hari - hari yang mendatang.

Dunia akhir zaman bayak ragam di sekitar yang meresahkan jiwa. Apatah lagi bila sudah bergelar ketua keluarga yang mengemudi bahtera rumah tangga. Melihat anak yang semakin membesar dalam ruang lingkup persekitaran yang dicemari dengan simtom hedonisma membuatkan hati resah gelisah. Ketenangan dalam hidup sedikit sebanyak tergugat. Remaja yang lebih mengingati artis - artis yang terkinja - kinja di atas pentas konsert. Nama - nama mereka lebih diingati daripada nama - nama Nabi dan Malaikat. Usah ditanya lah mereka siapa Dr Yusuf al Qardhawi, Hassan al Banna itu siapa? Pasti mereka akan bertanya balik kepada kita, "orang tua mana tu abang?". Hal seperti ini yang menganggu ketenteraman bila memikirkan anak yang akan berhadapan dengan realiti kehidupan ummat akhir zaman.

Artis - artis yang berpakaian seksi, berpelukan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, tidak peduli halal dan haram lebih mereka kanali. Bait - bait lagu cinta lara mereka lebih terpahat dalam minda remaja berbanding surah - surah al Quran. Untuk ingati hadis Nabi jauh sekali. Adakah begini generasi yang akan mencorak hala tuju Malaysia pada masa depan? Soalan begini salalu bermain di minda ku..

Sunday, 17 October 2010

Perjalanan Hidup...

/>Salam.

Sudah lama aku tak update blog ni..Mungkin kerna terlalu sibuk dengan kerja , study , sebagai suami dan bapa , juga sebagai hamba yang memikul tanggungjawab dakwah dalam masyarakat. Moga Allah sentiasa meredhai ku, keluarga ku dan seluruh ummat Islam, insyaAllah.

Sejak kembali bergelar student, jadual perjalanan hidupku bertambah padat. Isteri yang juga sentiasa sibuk. Rutin hidupku bermula seawal jam 5.00 pagi. Bangun dari mati yang sementara, laksanakan solat sunat malam sebagai tanda kehambaan aku pada Sang Pencipta. Mengemas rumah sedikit sebanyak jika isteri aku "on call" , supaya dapat ringankan beban si isteri bila pulang dari kerja. Selesai solat subuh, aku siapkan beg untuk ke tempat kerja, kemudian mengusung anak kecil ku Amni Nasuha seawal jam 6.15 pabi untuk ke rumah pengasuh. Kemudian terus bergerak ke sekolah. Pada kebiasaannya aku sampai di sekolah jam 7.05 pagi.

Masa aku di sekolah selalunya sampai jam 1.30 atau 2.00 petang. Kalau ada meeting masa di sekolah berlanjutan hingga jam 3.00 ptg. Pulang dari sekolah, terus pergi ambil si kecil Amni Nasuha di rumah pengasuh. Dialah menjadi peneman ku di rumah tika isteri ku bekerja. Biasanya isteri balik jam 5.30 ptg kalau tak on call...Kalau on call...dia akan pulang ke rumah 5.30 petang keesokan harinya..35jam waktu bekerja. Pada setiap hari Rabu...Amni Nasuha akan tinggal di rumah pengasuhnya sampai jam 11.30 malam sementara menanti aku pulang dari kuliah di USM. Masa kuliahku bermula jam 5.00 ptg - 10.00 malam. Hari Khamis malam, aku cuba sedaya mungkin menghadiri usrah mingguan. Aku sebenarnya lebih senang memjemput sahabat - sahabat ku ber"halaqah" di rumah ku..sebab aku tak perlu bawa Amni keluar rumah waktu malam. Usrah memberi impak besar dalam hidupku dalam menguruskan perjalanan hidup sebagai hamba Allah, ketua keluarga, dan ahli masyarakat.Isteri juga akan cuba mencari kelapangan atau celahan waktu yang dia ada untuk menghadiri usrah. Biasanya dia akan bawa bersama anak kecil kami sebagai satu proses tarbiyah dan pendedahan kepada Amni bahawa baba dan mama ingin menjadikan keluarga ini sebagai sebuah baitulmuslim yang sejahtera.

Kesibukan menguruskan rumah tangga dan tanggungjawab di sekolah mendidik aku tentang perncangan waktu. Aku biasanya menidurkan Amni jam 10.00 malam. Lepas Amni nyenyak tidur bermulalah aku dengan hal - hal berkaitan pengajian ku. Biasanya aku habiskan sekitar 2 jam setiap hari supaya aku tak kelam kabut menjelang exam nanti.

Hujung minggu, biasanya pada hari Sabtu, sebab Jumaat aku ada kelas di USM, aku lebih senang menghabiskan masa bersama anak isteri makan angin atau balik ke kampung. Setiap hujung bulan, aku biasanya membawa anak dan isteri menginap di mana - mana hotel di tepi laut. Selalunya di Batu feringhi sebab aku menghadiri kuliah di USM, dan aku tinggalkan anak isteri di hotel. Soal kewangan aku letak tepi dulu sebab yang penting isteri juga dapat rehat dengan anak setelah penat bekerja untuk masyarakat di hospital. Aku faham, adakala isteri ku juga "stress" dengan tekanan kerja dan kesibukan di hospital.

Aku dan isteri juga rindu pada Keindahan Bersama MU (KBM)...InsyaAllah, pada hujung minggu ni kami akan hadirkan diri untuk mengendalikan program KBM di Baling. Ilmu tak banyak, tapi yang sedikit itu dapat sumbang ke jalan dakwah dan memberi manfaat pada ummat sudah cukup memberi makna dalam hidup kami. Bukan harta dunia yang kami kejar, tapi bekalan akhirat yang kami cita - citakan. Hidup di dunia adalah sebagai umpama mengerjakan ladang untuk mengutip hasil di akhirat yang abadi. Allah kurnaiakan kami kebahgian dan kesenangan di dunia , kami impikan kesenangan di akhirat. kami rindukan syurga Allah swt..Kami rindu untuk bertemu dengan Rasulullah saw.

Bagi teman - teman yang ada kelapangan, jom bersama program Keindahan Bersama MU pada hujung minggu ini di SMK Tunku Putra, Baling ( 22 dan 23 Oktober ). Adik - adik di IPT yang berkelapangan, jom membantu jadi fasilitator.

Sunday, 9 May 2010

SELAMAT HARI IBU

Assalamualaikum pada teman - teman .

Sudah berapa lama aku tak menulis, lantaran hambatan kesibukan. Ketika ini, di samping mengasuh baby Amni kerana isteri "on call" aku gagahkan diri untuk mencoretkan sesuatu di blog yang tak seberapa ini. Hari ini adalah hari yang istimewa. Pagi - pagi lagi, aku memetik butang telefon bimbit untuk mengucapkan SELAMAT HARI IBU pada bonda tercinta, Puan Khodijah Abdul Hamid. Insan ini lah yang telah bersusah payah mengandungkan aku, menyusukan daku, mendakap dan memelukku, mencium dahi dan pipiku kerana di hatinya tersemat nilai cinta yang tiada tandingannya.

Aku teringat detik - detik isteri ku melahirkan baby Amni. Hari itu ialah Hari Raya Aiduladha dan kebetulan hari itu juga adalah hari Jumaat. Menemani isteri selama 10 jam dan menyaksikan kesakitan teramat sangat yang ditangggung oleh isteri demi melahirkan seorang cahaya mata amat menginsafkan aku. Ketika isteri meminta aku meninggalkannya dan menyuruh aku pergi menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran, di saat berdoa air mataku mengalir laju memohan Allah mempermudahkan isteri melahirkan cahaya mata kami yang pertama. Pada detik itu jua tergambar betapa susahnya ibuku sewaktu melahirkan aku 26 tahun yang lalu. Pastinya kesusahan yang ditanggung dan segala kasih sayang yang dicurahkan oleh bonda selama ini tidak mampu untuk ku balasi atau diungkapi dengan bait - bait kata.

Teringat saat aku mohon bertukar dari Cameron Highland ke Kedah pada tahun lalu. Pertukaran aku kerana mengikuti isteri yang bertugas di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Di dalam borang permohonan pertukaran, aku memberi alasan mengikut isteri. Tetapi di hati kecil ku, pertukaran ini kerana dua perkara ; 1 - Aku masih punyai ibu dan ayah yang perlu aku dampingi mereka selagi mereka masih bernafas , 2 - Tanggungjawab aku sebagai suami pada isteriku . Sebagai anak lelaki, tanggungjawab sebagai anak kepada ibu masih lagi yang pertama walau sudah berumah tangga, berbeza dengan anak perempuan kerana apabila ijab qabul telah termateri maka tanggungjawabnya sudah berpindah kepada sang lelaki bernama suami.

Saat ini, bila aku sendiri memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa kepada anak ku, mencurah kasih sayang pada si kecil aku lebih tersentuh bila mengenangkan ibu dan ayah. Boleh di katakan setiap hari, pasti akan ku hubungi mereka untuk bertanya khabar kerana tika inilah saat - saat emas untuk aku sebagai anak mencurahkan segala kasih sayang pada mereka sebelum mereka pergi bertemu dengan Allah atau aku dulu yang pergi bertemu dengan Pencipta ku.

Pada teman -teman yang kejauhaan yang masih punyai ayah dan ibu, berusahalah sedaya upaya untuk kita berada hampir dengan ibu dan ayah kita. Maksudku,walau tak tinggal serumah dengan mak ayah,sekurang - kurangnya apabila berlaku kecemasan pada mereka yang semakin tua, dapat segera kita bertemu dengan mereka. Ingat, kasih sayang mereka tiada tandingannya. Cuba imbas kembali saat - saat kita kecil dahulu, ibu memimpin tanggan kita, mengajar kita bertatih hinggga hari ini dapat kita berlari. Saat itu, ibu sentiasa mencium dahi kita dengan kucupan kasih sayang. selalu ibu sebutkan , " ibu saaayang anak ibu, jadi anak yang baik yer.." . Begitu juga dengan ayah yang sentiasa mengucup kita sewaktu kita masih kecil. Tapi kini, mereka semakin tua, semakin hari semakin dekat dengan kamatian. Adakah saat ibu atau ayah di pakaikan tiga lapis kain putih dan pada tika itu baru kita ingin mengucup dahi mereka dan melafazkan kata cinta ??? Ayuh...berdoalah buat ibu dan ayah...mungkin kejayaan kita, kesenangan kita pada hari ini kerana masih ada doa dari ibu dan ayah.

Buat bonda tercinta Puan Khodijah Abd Hamid, abang Long ucapkan SELAMAt HAR IBU, moga panjang umur, murah rezki, sentiasa berada dalam redha Allah. Halalkan segala makan minum dan kasih sayang yang telah mak berikan, halalkan air susu mak yang mengalir dalam tubuh ini. Buat isteri tersayang, Dr Maslina Abdoll Malik terima kasih kerana menjadi isteri yang baik dan ibu yang baik pada Amni Nasuha. Buat ibu mertuaku yang ku rindui, SELAMAT HARI IBU, Yuzz , Maslina dan Amni rindu pada ibu, rindu masak lomak cili api ibu, moga ibu juga sentiasa sihat dalam kasih sayang Allah.

Wednesday, 28 April 2010

Semanis Madu...


"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.
"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya. .." Fatimah mula sebak.
"Tak. Maksud saya....."
"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah dengan kasar.
"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.
" Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.

Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan silu.
"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.
"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.
"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu.
"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
"Baiklah," jawab Fikri tersenyum.
Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.

Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail ditangannya.
Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.
"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.
"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.
Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
"Perjuangan, " jawab Fikri.

Sunday, 31 January 2010

Keindahan Bersama Keluarga Besar KBM...

Alhamdulillah, baru sampai di rumah. Tadi sempat berjumpa adik - adik dari UiTM di rumah Ummi Mai. Bila bersama adik - adik yang masih di kampus, diri ini pun teringat kenangan - kenangan pahit manis tika di kampus. Hati kecil ni rasa ingin kembali ke zaman pelajar di kampus IPT, tapi apakan daya, umur yang berlalu sudah pasti tak akan kembali. Masa yang lalu tak akan kembali lagi...pergi tak kembali. Tapi andai semasa di kampus, hanya sekadar ulang -alik ke kelas dan terperap dengan nota - nota kuliah sahaja, alanghkah ruginya. Manfaatkanlah peluang di IPT utk mengaut segala peluang dan meraih segala pengalaman dengan melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti mahasiswa. Lebih bermakna lagi, andai adik - adik yang masih IPT menggunakan usia muda dikampus utk gerak kerja dakwah , mengajak rakan - rakan pelajar yang lain melaksanakan kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT.



Kenangan bersama fasi -fasi KBM di Sekolah Al Azhar , Jitra pada 29&30 Jan 2010

Tadi semasa di rumah Ummi Mai,Pak Njang bersiap - siap utk ke usrah. Setiap malam mengendalikan usrah yang berbeza tahapnya. Ada usrah remaja, usrah guru, usrah pelajar asrama dan sebagainya. Tersentuh jiwa ku, bila mengenangkan Ummi dan Pak Njang yang istiqamah dalam gerak kerja dakwah. Andai ada 30 orang penggerak begini di setiap daerah, yang melakukan kerja begini siang malam memikirkan ummat, andai ada 30 orang begini di setiap IPT yang setiap detik memikirkan hal ummat, dengan doa dan tawakal kepada Allah, pasti ISLAM bersinar menyuluh kehidupan manusia sekitarnya.

InsyaAllah, moga Allah kuatkan iman, sihatkan tubuh badan, diberikan kemudahan, dimurahi rezeki yang barakah, kepada kita semua untuk meletakkan keredhaan Allah dalam setiap gerak kerja kita. Matlamat akhir kita ialah syurga Allah. Andai ada di antara kita pergi terlebih dahulu untuk bertemu dengan Allah, kita mengharapkan Allah ampunkan segala kesilapan kita, dan dipertemukan di syurga Allah yang kita rindui.InsyaAllah....

Sekolah Baru..Suasana Baru..

Assalamualaikum wbt,

Sudah agak lama tak update blog ni. Sejak bertugas di sekolah baru, aku rasa amat sibuk. Walaupun tak perlu berulang alik seperti berada di Pos Telanok, Cameron Highland dulu, tapi hal - hal kerja semakin bertambah. Bertugas di sekolah yang hampir dengan kawasan bandar, tidak sama dengan berada di sekolah pedalaman dahulu. Kedua - duanya memberikan pengalaman. Cuma berbezaan pengalaman - pengalaman itu. Di pedalaman dulu, aku diajar erti kesusahan masyarakat orang Asli. Jerih payah teman - teman guru masuk ke hutan mendidik anak - anak masyarakat Orang Asli. Ada teman - teman yang hujung minggu berulang alik ke kampung utk berjumpa anak isteri yang kejauhan. Itulah pengorbanan insan - insan yang bergelar pendidik. Semangat setia kawan, kerjasama teman - teman, gelak tawa , suka duka teman - teman pasti terus tersemat di memori. Jatuh motor berkali - kali, tersadung batu - batu dan tengelam dalam lumpur pasti menjadi kenangan istimewa dalam hidupku.



Kini bertugas di SK Teloi Kanan, Kuala Ketil. Sudah dapat tinggal bersama isteri dan baby Amni Nasuha. Tidak lagi berjauhan dengan isteri seperti dahulu. Sejak pertama kali bertemu dengan teman - teman guru di sekolah baru ni, sudah terasa kemesraan nya. Terima kasih kerana sudi memberikan tunjuk ajar dan terguran, moga ianya berterusan bersama ukhwah yang mantap, insyaAllah.

Tahun ini aku diamanahkan oleh pihak sekolah untuk mengajar murid - murid tahun 6, 5 , 4, dan 3. 29 waktu masa mengajar , kurang lebih 800 minit seminggu. Tapi bagiku, ini bukan satu bebanan, tapi ia adalah satu amanah yang harus ku tunaikan. Cuba elakkan dari memberi alasan, kerana banyak alasan antara punca yang membantutkan potensi diri. Aku cuba merawat hati. Niat lah yang paling utama. Walaupun diberi amanah mengajar tahun 6C, untuk meluluskan semua murid 6C yang rata - rata mendapat markah akhir tahun hanya sekitar 20 markah dalam subjek Bahasa Inggeris, ia adalah satu cabaran bagi ku. Apa pun, usaha yang berterusan, motivasi pelajar dan guru, doa yang tak pernah putus, pasti akan membuahkan hasil.Yakin pada pertolongan Allah. Insyaallah.