Sunday, 6 December 2009

Kelahiran Amni Nasuha...


Assalamualaikum wbt,
Dah beberapa hari cuba menggunakan internet di rumah mertua di Bahau, tetapi hari ni baru berjaya. Entah apa yang tak kena. Sejak petang Khamis sejerus sampai di Kg Jambu Lapan ni, terus aku mendapatkan komputer, tapi tak berjaya. Bersabar jer lah. Rasa hati ni dah meluap - luap nak menulis di blog Cetusan Naluri sejak hari pertama baby Amni Nasuha di lahirkan, tapi malangnya ruang waktu sentiasa dihimpit kesibukan. Maklumlah, jadi baba dan mama muda yang tak banyak knowledge tentang pengurusan anak kecil.

27 Dis 2009 ( 10 Zulhijjah )
, jam 3 pagi isteri tersayang terasa sakit sedikit - sedikit tetapi tidak terlalu kerap. Aku yang keletihan terus tidur lena. Jam 5 pagi aku terjaga, lampu bilik terang benderang. Kelihatan isteri sedang solat sunat. Memang itu menjadi rutin kami hasil dari tarbiyah yanh kami terima. Solat malam adalah sebahagian dari mutaba'ah amal kami dalam keluarga di sampai perkara - perkara lain seperti solat berjamaah, istiqfar 100x sehari, solat di awal waktu , tadabbur alQuran dan lain - lain . Selepas solat subuh, aku memaklumkan pada bonda (kami bermalam di rumah bonda ku di Pendang, Kedah )untuk ke Kedah Medical Centre (KCM) kerana isteri sudah terasa sakit sedikit - sedikit. Ini pengalaman pertama kami. Kelihatan waktu tu, bondaku baru selepas solat subuh. Ayahanda belum lagi pulang dari masjid. Mungkin lama bertakbir dan mendengar tazkirah subuh.

7.30pg, kami sampai di KMC. Isteri dan aku terus di bawa ke labour room. Isteri diperiksa oleh petugas-petugas di labour room. Selepas menghantar isteri ke labour room, aku turun semula ke kaunter pendaftaran menyelesaikan pembayaran deposit. Kemudian aku naik semula ke labour room di aras pertama. Aku dimaklumkan, bukaan sudah 2cm. InsyaAllah, aku mendoakan isteri akan bersalin hari ni juga.

Jam 8.30 pagi, isteri tercinta memberitahu aku, "Abang pergi lah masjid dulu, solat sunat hari raya. Saya lambat lagi ni, baru 2cm". Aku pun terus mencapai kunci kereta dan menuju ke masjid berhampiran KCM, bersama mengalunkan takbir Hari Raya Aiduladha. Di masjid, aku tak henti - henti mendoakan moga isteri ku dipermudahkan Allah utk melahirkan baby pertama kami.

9.45pg, selesai solat sunat Aiduladha, aku melihat di handphone ada sms dari isteri minta dibelikan sedikit makanan kerana terasa lapar. Aku sendiri terasa lapar. tak sempat nak jamah ketupat pulut dan gulai daging yang mak buat sebelum ke KMC tadi. Fikir aku, kat mana lah nak dapatkan makanan hari raya ni.Lagi pulak isteri minta nak makan nasi lemak. Aduh..puas aku meninjau sampai ke jalan Sultanah Sambungan, ada 7eleven je yang buka. Aku masuk dan belikan roti serta air mineral. Kemudian, terus balik ke KMC. Bila masuk je labour room, nurse bagi tau, "Dr Maslina tak boleh makan dan minum," bukaan sudah 3cm. Aku pun letakkan roti dan air mineral yang dibeli tadi di atas rak yang disediakan. Isteri berpeluh menahan kesakitan. Aku sentiasa ingatkan isteri, jangan lupa istiqfar dan selawat pada Nabi. Tak lama kemudian, bonda dan ayahanda ku pun sampai di KMC. Hanya bonda masuk ke labour room menemankan isteri dan aku.

1.00tgh, kesakitan isteri bertambah - tambah. Dr Zuraini yang datang check pukul 11 tadi maklumkan pada ku insyaAllah akan bersalin hari ni. Sama - sama menanti bukaan hingga 10cm. Ketika jam 1.05tgh, bukaan sudah 5cm. Aku sama - sama berzikir , berdoa, menenangkan isteri. Aku minta bondaku yang sejak pagi tadi bersama menemankan isteri ku. Aku katakan pada isteri utk pergi menunaikan solat Jumaat bersama ayahanda. Sepenjang berada dimasjid, aku terus mendoakan isteri hinggakan aku tak sedar orang lain memerhatikan aku yang berlinang airmata. Kesakitan isteri tak dapat aku bayangkan. Masa tu teringat aku, baginalh bonda semasa nak lahirkan aku dulu. Ya Allah, betapa sukarnya seorang ibu utk melahirkan anak.

2.15 ptg, selesai solat Jumaat aku terus ke labour room. Nurse bagi tau, bukaan dah 9cm dan insyaAllah sekejap lagi akan melahirkan cahaya mata kami. Aku menemani isteri hingga selesai melahirkan baby perempuan yang diberi nama Amni Nasuha. Airmataku mengalir saat kelahiran ini, melihat kesakitan yang teramat sangat. Alhamdulillah, baby Amni di mandikan oleh nurse dan diberikan padaku untuk diazankan dan diiqamahkan. Kemudian aku mentaknik baby Amni dan selepas itu baby Amni di susukan oleh isteriku.

Pengalaman menyaksikan kelahiran anak sendiri lebih menyedarkan aku tentang pengorbanan, susah payah bonda melahirkan aku dahulu. Juga mengingatkan aku kebimbangan dan kegelisahan ayahanda seperti mana aku resag gelisah menantikan kelahiran baby Amni. Terima kasih bonda dan ayahanda atas segala pengorbanan mu selama ini. Betapa banyak dosa dan kesilapan ku pada kalian, tolonglah ampuni daku. Sesunggahnya segala pengorbanan kalian tak mampu aku balas.

Buat isteri tercinta, terima kasih kerana bersusah payah mengandungkan dan melahirkan baby Amni yang comel. Moga kehadiran baby Amni menyuburkan rasa cinta kita. Buat Amni, baba dan mama doakan moga Amni menjadi anak yang solehah, menjadi pejuang untuk menegakkan Islam di muka bumi Allah. Moga kita semua sentiasa dalam redha dan kasih sayang Allah.

Mohd Fairuz Jafar
Kg Jambu Lapan
Bahau,N9.

No comments: