Friday 18 January 2008

ANCAMAN KEPADA RAKYAT MALAYSIA !

Jika kalian ingin mengetahui apakah FTA, boleh rujuk artikel yang ana masukkan di blog ini sebelum ini.

Dipetik dari Harakah Daily ;

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Hrkh) - Teras Pengupayaan Melayu (Teras) membantah sekeras-kerasnya perundingan perejanjian perdagangan bebas 'Free Trade and Agreements (FTA) di antara Malaysia dan Amerika (AS) yang kini diteruskan di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata jelas dasar terbuka yang terlalu luas kepada AS sangat bahaya buat Malaysia kerana kesan kepada pengusaha kecil dan sederhana termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menghadapi saingan yang tidak adil.
"Kerajaan jangan mengambil sikap berahsia dalam perundingan ini. Rakyat berhak untuk mengetahui kenapa perundingan ini diteruskan.
"Kita kesal terhadap sikap kerajaan yang sehingga ini tidak mahu mendengar protes rakyat dalam hal yang akan merugikan rakyat jika AS dibenar untuk masuk ke pasaran ini tanpa had," katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily.


Katanya kenyataan James R.Keith, wakil perdagangan AS yang menyatakan bahawa sasaran utama FTA Malaysia - AS ialah sektor perolehan kerajaan membuktikan AS benar-benar mahu masuk dalam tender kerajaan yang selama ini telah dapat membantu usahawan tanah air khususnya bumiputera. AS katanya sememangnya ingin menguasai sebanyak mungkin sektor di negara ini atas alasan ia akan membantu pertumbuhan ekonomi di negara ini.


Terdahulu Ogos tahun lalu berhadapan gedung dan pasar raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman menyaksikan sebilangan rakyat berdemonstrasi melaungkan dan menjerit marah kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato' Seri Rafidah Aziz kerana masih meneruskan usaha rundingan 'Free Trade Agreement' (FTA) dengan Amerika yang dilihat sebagai satu usaha menjajah di samping menindas rakyat negara ini.


Demonstrasi yang bermula di Dataran Merdeka itu dianjurkan oleh Gabungan Rakyat Malaysia Membantah FTA Amerika- Malaysia yang terdiri daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan NGo seperti Teras, Gerakan Mansuh ISA (GMI),Jerit, Suaram, wakil Mahasiswa, komuniti penduduk setinggan, pekerja ladang, pekerja kilang termasuk wakil-wakil daripada PAS, Parti Sosialis Malaysia, KeADILan.


Kelihatan ketika itu sepanduk-sepanduk dan kain rentang bertulis ' Jahaman Amerika','Jangan telanjangkan rakyat Malaysia' dan 'Jangan Biar Amerika jajah Malaysia' adalah antara slogan yang mewarnai dan menyemarakkan suasana malah biarpun terik matahari memancar orang ramai kelihatan tidak berganjak daripada lokasi tersebut.


Dalam pada itu sewaktu menyampaikan ucapan di hadapan para peserta dan khalayak ramai pagi tadi, Azmi menyelar sikap pemimpin kerajaan yang tidak mengendahkan nasib rakyat yang bakal tertindas akibat daripada perjanjian FTA ini. "Kami bantah sekeras-kerasnya dan akan melakukan tindakan yang lebih keras sekiranya Malaysia tidak berundur dan membatalkan perjanjian itu," dan tambahnya lagi " dan ternyata rundingan FTA ini menunjukkan ada tali barut dalam kerajaan Malaysia!" katanya tegas. "Dan kita kutuk perjanjian ini. Rafidahlah bertanggungjawab dan dia adalah agen Amerika!" katanya sambil disambut sorak oleh para peserta demonstarsi.


Kata Azmi lagi, rakyat Malaysia tidak rela sekali lagi dijajah setelah 50 tahun Merdeka dan rundingan FTA ini merupakan bentuk penjajahan baru yang bakal menggadaikan kedaulatan negara. "Kita tidak mahu berundur ke belakang dan Malaysia dibawa ke zaman penjajahan semula," kata Arutchelvan Setiausaha Agung penaja Parti Sosialis Malaysia yang turut memberi ucapannya ketika demonstrasi tersebut.


"Rafidah Agen Amerika!"Jahanam Jahanam Amerika!","Pak Lah Tidur!" adalah antara laungan orang ramai termasuk peserta demostrasi yang kelihatan benci dengan sikap pemimpin negara yang tidak langsung membela rakyat yang semakin tertindas tetapi bertindak demi mengaut keuntungan peribadi.


Gerakan Anti dan membantah FTA ini tidak hanya berlaku di Malaysia malah di negara-negara yang turut mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat seperti di Thailand, lebih 50,000 rakyatnya berdemonstrasi di Bangkok.


Menurut risalah Jerit yang diedarkan kepada orang ramai pada waktu itu,ketika perbincangan FTA kedua dijalankan, lebih kurang 50,000 rakyat Korea telah membanjiri jalan raya kerana membantah tindakan kerajaan mereka manakala di Equador dan Miami turut berlaku siatuasi amarah rakyat membantah kerajaan mereka membantah rundingan FTA ini.


"Teras mendesak agar perundingan FTA ini dihentikan sama sekali dan pihak kerajaan meneruskan perdagangan dengan AS seperti yang sedia ada tanpa perlu mengikat dengan perjanjian yang akan menjebak Malaysia dalam kawalan AS yang merbahaya dalam jangka masa panjang," katanya dalam kenyataan media tersebut

No comments: