Sunday, 9 May 2010

SELAMAT HARI IBU

Assalamualaikum pada teman - teman .

Sudah berapa lama aku tak menulis, lantaran hambatan kesibukan. Ketika ini, di samping mengasuh baby Amni kerana isteri "on call" aku gagahkan diri untuk mencoretkan sesuatu di blog yang tak seberapa ini. Hari ini adalah hari yang istimewa. Pagi - pagi lagi, aku memetik butang telefon bimbit untuk mengucapkan SELAMAT HARI IBU pada bonda tercinta, Puan Khodijah Abdul Hamid. Insan ini lah yang telah bersusah payah mengandungkan aku, menyusukan daku, mendakap dan memelukku, mencium dahi dan pipiku kerana di hatinya tersemat nilai cinta yang tiada tandingannya.

Aku teringat detik - detik isteri ku melahirkan baby Amni. Hari itu ialah Hari Raya Aiduladha dan kebetulan hari itu juga adalah hari Jumaat. Menemani isteri selama 10 jam dan menyaksikan kesakitan teramat sangat yang ditangggung oleh isteri demi melahirkan seorang cahaya mata amat menginsafkan aku. Ketika isteri meminta aku meninggalkannya dan menyuruh aku pergi menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran, di saat berdoa air mataku mengalir laju memohan Allah mempermudahkan isteri melahirkan cahaya mata kami yang pertama. Pada detik itu jua tergambar betapa susahnya ibuku sewaktu melahirkan aku 26 tahun yang lalu. Pastinya kesusahan yang ditanggung dan segala kasih sayang yang dicurahkan oleh bonda selama ini tidak mampu untuk ku balasi atau diungkapi dengan bait - bait kata.

Teringat saat aku mohon bertukar dari Cameron Highland ke Kedah pada tahun lalu. Pertukaran aku kerana mengikuti isteri yang bertugas di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Di dalam borang permohonan pertukaran, aku memberi alasan mengikut isteri. Tetapi di hati kecil ku, pertukaran ini kerana dua perkara ; 1 - Aku masih punyai ibu dan ayah yang perlu aku dampingi mereka selagi mereka masih bernafas , 2 - Tanggungjawab aku sebagai suami pada isteriku . Sebagai anak lelaki, tanggungjawab sebagai anak kepada ibu masih lagi yang pertama walau sudah berumah tangga, berbeza dengan anak perempuan kerana apabila ijab qabul telah termateri maka tanggungjawabnya sudah berpindah kepada sang lelaki bernama suami.

Saat ini, bila aku sendiri memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa kepada anak ku, mencurah kasih sayang pada si kecil aku lebih tersentuh bila mengenangkan ibu dan ayah. Boleh di katakan setiap hari, pasti akan ku hubungi mereka untuk bertanya khabar kerana tika inilah saat - saat emas untuk aku sebagai anak mencurahkan segala kasih sayang pada mereka sebelum mereka pergi bertemu dengan Allah atau aku dulu yang pergi bertemu dengan Pencipta ku.

Pada teman -teman yang kejauhaan yang masih punyai ayah dan ibu, berusahalah sedaya upaya untuk kita berada hampir dengan ibu dan ayah kita. Maksudku,walau tak tinggal serumah dengan mak ayah,sekurang - kurangnya apabila berlaku kecemasan pada mereka yang semakin tua, dapat segera kita bertemu dengan mereka. Ingat, kasih sayang mereka tiada tandingannya. Cuba imbas kembali saat - saat kita kecil dahulu, ibu memimpin tanggan kita, mengajar kita bertatih hinggga hari ini dapat kita berlari. Saat itu, ibu sentiasa mencium dahi kita dengan kucupan kasih sayang. selalu ibu sebutkan , " ibu saaayang anak ibu, jadi anak yang baik yer.." . Begitu juga dengan ayah yang sentiasa mengucup kita sewaktu kita masih kecil. Tapi kini, mereka semakin tua, semakin hari semakin dekat dengan kamatian. Adakah saat ibu atau ayah di pakaikan tiga lapis kain putih dan pada tika itu baru kita ingin mengucup dahi mereka dan melafazkan kata cinta ??? Ayuh...berdoalah buat ibu dan ayah...mungkin kejayaan kita, kesenangan kita pada hari ini kerana masih ada doa dari ibu dan ayah.

Buat bonda tercinta Puan Khodijah Abd Hamid, abang Long ucapkan SELAMAt HAR IBU, moga panjang umur, murah rezki, sentiasa berada dalam redha Allah. Halalkan segala makan minum dan kasih sayang yang telah mak berikan, halalkan air susu mak yang mengalir dalam tubuh ini. Buat isteri tersayang, Dr Maslina Abdoll Malik terima kasih kerana menjadi isteri yang baik dan ibu yang baik pada Amni Nasuha. Buat ibu mertuaku yang ku rindui, SELAMAT HARI IBU, Yuzz , Maslina dan Amni rindu pada ibu, rindu masak lomak cili api ibu, moga ibu juga sentiasa sihat dalam kasih sayang Allah.