Sunday, 6 September 2009

Ramadhan Kali Ini...


Hospital Sultan Abdul Halim, Sg Petani, Kedah.


Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, sehingga saat ini Allah SWT masih memberikan kekuatan untuk melaksanakan ibadah puasa yang menjadai kewajipan bagi setiap insan bergelar muslim. Baginda Rasul SAW pernah berdoa, "Ya Allah berkatilah aku dalam bulan Rajab dan Syaban, dan sampaikanlah aku pada bulan Ramadhan". Berapa banyak lagi ayat - ayat cinta Allah dan pesanan kasih dari Nabi tercinta berkaitan kemualiaan Ramadhan. Bulan Ramadahan sebagai bulan tarbiyah untuk mendidik jiwa kita kepada keikhlasan, kepatuhan, ketaatan dan kesabaran dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim. Puasa dalam bulan Ramadahan juga bukan alasan untuk tidak melonjakkan kualiti dalam kehidupan kita seharian. Sepatutnya, Ramadhan sebagai madrasah tarbiyah menjadikan kita lebih hebat dalam ibadah dan prestasi kerja. Bukankah peperangan Badar juga berlaku pada bulan Ramadhan? Mengapa tidak kita mengambil iktibar dari peristiwa besar itu? Bukan kah peristiwa itu menjadi bukti kekuatan umat Islam mengharungi dugaan dan rintangan? Malah berapa banyak lagi peperangan yang berlaku dalam bulan Ramadhan yang Allah kurniakan kemenangan kepada Islam.

Ramadhan kali ini ialah kali kedua aku tidak lagi berpuasa bersama teman - teman dan adik - adik usrah di kampus. Terasa amat rindu kepada adik - adik usrah yang amat ku sayangi ketika di kampus. Aktivitas bersahur, berbuka, bertaraweh, bertadarus al Quran dan qiamullail bersama menghidupkan malam - malam Ramdhan memburu Lailatulqadar segar dalam ingatan. Pagi semalam, sempat menjengah rumah ustaz Khairul Annuar di Tasek Gelugor, bertemu ikhwah dan akhwat Karisma Pulau Pinang dalam program Tamrin Penggerak. Sempat mengikuti pengisian dari ustaz Khairul bertajuk "Halatuju Dakwah". Ustaz menceritakan pengalaman pahit manis berkecimpung dalam jamaah Islam sejak di kampus. Pastinya ia sedikit sebanyak mengetuk hatiku dan mengoncang minda untuk berfikir tentang sumbangan ku pada dakwah Islam dan jamaah. Sumbangan apa yang telah ku hulurkan untuk agama Allah? Sesungguhnya, kepayahan, kesulitan yang ku alami jauh lebih ringin andai dibandingkan dengan perjuangan Rasulullah saw, para sahabat, pendokong - pendokong gerakan Islam di Palestin, Afghanistan, Kosovo dan lain - lain. Perjungan mereka hingga mengorbankan jiwa- jiwa mereka untuk mencari kemuliaan di sisi Allah swt.

Puasa tahun ni, tak lagi puasa seorang kerana menikmati beramal di bulan mulia ini dengan isteri tersayang. Walaupun hanya pada hujung minggu sahaja dapat bersahur, berbuka dan bertaraweh bersama isteri, tapi ia cukup memberi makna dan lebih mengikat tali cinta. Malam pertama Ramadhan, isteri "on call".Selepas bertaraweh di Surau Al- Hidayah , Taman Ria Jaya, terus ke pasaraya membeli sedikit barang keperluan untuk memasak. Aku memasak sampai pukul 12 tengah malam. Selepas membersihkan ruang dapur rumah yang bersepah ( maklumlah suami yang tak pandai masak) , aku terus ke hospital bertemu isteri di wad Orthopedik. Masa aku sampai di wad, bertanya di mana Dr Maslina di kaunter? Jururawat kata ada di bilik "procedure". Kesibukan isteri dan aku yang ternanti - nanti membuatkan aku terlelap di atas sofa sampai memegang juadah bersahur yang telah siap. Jam 2.30 pagi baru sempat jumpa dengan isteri dan dia membawa ku ke bilik. Sempat berbual sebentar melepas rindu. Kemudian isteri bersolat isyak dan taraweh seorang diri dan aku terus terlelap. Jam 5 pagi, isteri mengejutkan aku untuk bersahur. Dia yang tidak sempat tidur walau seminit menikmati masakan bersahur yang aku bawa. Alhamdulillah, walaupun dalam kesibukan Allah masih kurniakan kami ruang waktu yang sedikit untuk dapat bersahur bersama. Itu adalah masa yang amat berkualiti bagi ku. Kesibukan isteri membuat aku lebih terfikir, isteri yang lebih sibuk masih mampu memberi komitmen kerja yang tinggi dan menghidupkan malam - malam Ramadhan, menjaga kualiti kerja, adakah aku juga seperti dia???

Ramadhan semakin berlalu pergi. Tahun hadapan, adakah pasti berjumpa lagi? Suatu yang tidak pasti. "Fairuz! Jangan lepaskan peluang pada Ramadhan ini..Allah masih memberi ruang waktu padamu untu kau menghampirkan diri padaNya, kerana itu bukti kasih Allah pada hambanya"